- Iklan -
Berita

‘Apa langkah perlu diambil sekarang?’, pakar pendidikan tuntut penjelasan selepas UPSR dimansuh

Mereka berkata kementerian pendidikan perlu menyediakan komunikasi yang jelas bagi menangani kebimbangan ibu bapa dan guru dalam sistem pembelajaran pasca pemansuhan UPSR.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar pendidikan berkata, pembelajaran di sekolah harus menjadi sebuah pengalaman yang tidak membuat pelajar tertekan sebaliknya menggembirakan.
Pakar pendidikan berkata, pembelajaran di sekolah harus menjadi sebuah pengalaman yang tidak membuat pelajar tertekan sebaliknya menggembirakan.

Beberapa orang pakar menggesa komunikasi lebih jelas daripada kerajaan berhubung rancangan mengenai penilaian yang menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) susulan tinjauan kumpulan pendidikan yang mendedahkan kebimbangan ibu bapa berhubung hala tuju kemajuan akademik anak-anak mereka selepas pemansuhan peperiksaan awam itu.

Charis Ding dari Persatuan Literasi Anak Malaysia (MYReaders) berkata kementerian pendidikan mempunyai peranan besar untuk dimainkan bagi memastikan risiko-risiko yang disuarakan ibu bapa dan guru dapat dibendung dan dielakkan.

“Kebimbangan itu termasuk risiko para pelajar tidak lagi memiliki matlamat akademik yang jelas sementara kualiti pengajaran akan terjejas tanpa keputusan UPSR sebagai KPI, atau penilaian berdasarkan sekolah tidak dapat dilaksanakan sementara ibu bapa pula tidak dapat memantau kemajuan anak-anak mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tinjauan yang dilaksanakan MYReaders dari 11 hingga 27 Mei itu melibatkan 772 responden terdiri daripada ibu bapa dan guru di seluruh negara.

Respons termasuk daripada 594 ibu bapa yang memiliki seorang anak atau lebih yang berada di sekolah rendah.

Sejumlah 403 orang tidak bersetuju pemansuhan UPSR sementera 253 orang lagi bersetuju dan 116 bersikap berkecuali atau berbelah bahagi.

Daripada 403 yang tidak bersetuju, 49% berkata UPSR adalah indikator yang penting bagi tahap pencapaian akademik anak-anak mereka.

Ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka ketika ini tidak mengetahui apakah penanda aras kemajuan pembelajaran anak-anak selepas enam tahun di sekolah rendah.

Sebahagian daripada mereka berkata tiada “ketelusan dalam menilai pencapaian anak-anak dalam pembelajaran” sementara yang lain menyuarakan kebimbangan penilaian berdasarkan sekolah mungkin berat sebelah.

23% lagi berkata tanpa UPSR, kanak-kanak akan kehilangan motivasi untuk belajar.

UPSR menjadi kaedah utama penilaian sekolah rendah sejak 30 tahun lalu yang menilai kemahiran: membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Pengkritik bagaimanapun berkata penilaian tersebut menyebabkan obsesi bagi mendapatkan gred yang tinggi selain sumber kewangan dan usaha banyak digunakan bagi memastikan murid-murid mendapat keputusan yang baik.

Pengamal pendidikan awal kanak-kanak Putri Afzan Maria Zulkifli yang mengalu-alukan langkah tersebut menyifatkan pemansuhan itu sebagai “revolusi yang diperlukan dalam sistem pendidikan Malaysia”.

Beliau berkata ia akan membolehkan pelaksanaan pendekatan holistik bagi menyiapkan kanak-kanak berdepan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi di tempat kerja.

Beliau mencadangkan beberapa pendekatan dalam penilaian kemajuan murid tanpa peperiksaan besar termasuk meningkatkan pemerhatian dan mengurangkan subjek-subjek yang terlibat selain melaksanakan penilaian berdasarkan projek dengan mengintegrasikan beberapa subjek dalam satu mata pelajaran.

“Perhatikan kekuatan murid-murid berdasarkan beberapa jenis kemahiran,” katanya.

“Tumpu kepada perancangan pendidikan yang terfokus kepada sifat individu murid.”

Bagaimanapun, beliau mengakui risiko membenarkan autonomi kepada sekolah bagi meneliti murid-murid tanpa UPSR dengan mengatakan ketelusan dan kepercayaan menjadi kunci utama dalam melaksanakan sitem pendidikan selepas pemansuhannya.

“Saya percaya para ibu bapa boleh mempercayai penilaian berdasarkan sekolah jika hubungan mereka dengan sekolah dan guru-guru terbina dengan baik. Rasa saling percaya akan wujud.”

Ding bersetuju komunikasi yang jelas sangat diperlukan antara ibu bapa dan guru.

“Ibu bapa perlukan peluang untuk turut serta dalam perkembangan anak mereka dan apa yang mereka perlu lakukan adalah menyokong pembelajaran anak mereka sepanjang sesi persekolahan.

“Ketelusan antara sekolah, guru dan ibu bapa perlu. Ia perlu menjangkaui lebih daripada hanya mesyuarat PIBG dan ambil kad laporan pelajar,” katanya.

Beliau turut menambah langkah-langkah juga harus diambil untuk menyokong guru, sekolah dan ibu bapa bagi memastikan murid-murid mendapat sokongan yang mereka perlukan.

Beliau turut menggesa kementerian pendidikan untuk melengkapkan dan memperkasa guru bagi menjalankan penilaian berdasarkan sekolah yang penuh bermakna dalam menilai murid sepanjang tahun akademik mereka.

Namun beliau menolak idea pemansuhan UPSR akan menjejaskan kemahiran membaca anak-anak dengan mengatakan kekurangan saringan awal dan berterusan mengenai tahap rendah celik huruf selain kurangkan intervensi awal adalah punca sebenar masalah tersebut.

Dalam pada itu Putri menggalakkan ibu bapa untuk menerapkan pendekatan holistik dalam menilai kemajuan anak-anak.

“Bagaimana anda tahu seorang kanak-kanak sepenuhnya membesar sempurna secara fizikal, mental, emosi dan sosial dengan hanya menerusi penilaian akademik?

“Kita perlu lihat kepada apakah tujuan peperiksaan. Untuk apa sebenarnya? Adakah anda yakin menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk pantau apa yang dipelajari anak-anak setakat ini?”