- Iklan -
Berita

‘Serupa negara polis’: peguam kecam keperluan permit polis untuk wakili anak guam

LFL berkata akses kepada badan kehakiman tidak sepatutnya bergantung kepada kebenaran badan penguatkuasaan yang mungkin memiliki kepentingan terhadap mereka yang ditahan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai yang perlu melakukan perjalanan memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa. Namun, Lawyer for Liberty (LFL) berkata permohonan-permohonan yang perlu dilakukan peguam akan menyukarkan proses kes-kes jenayah yang disifatkan sukar dijangka dan berlaku pada saat-saat akhir. Gambar: Bernama
Orang ramai yang perlu melakukan perjalanan memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa. Namun, Lawyer for Liberty (LFL) berkata permohonan-permohonan yang perlu dilakukan peguam akan menyukarkan proses kes-kes jenayah yang disifatkan sukar dijangka dan berlaku pada saat-saat akhir. Gambar: Bernama

Kumpulan peguam menyuarakan keraguan hari ini susulan keperluan memohon permit polis bagi menghadiri perbicaraan mahkamah sepanjang tempoh sekatan penuh pergerakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) selain turut menggesa sekatan yang tidak perlu sehingga menetapkan duluan (precedent) berbahaya.

Koordinator Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek berkata permohonan permit polis bagi mewakili anak guam melanggar hak orang awam untuk diwakili peguam yang termaktub dalam Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam-peguam hanya pergi ke mahkamah untuk mewakili anak guam mereka, bukan membuat perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Jadi kenapa perlu permohonan permit polis, yang memberikan kuasa kepada polis untuk menafikan perwakilan guaman kepada klien jika mereka putuskan untuk membuat demikian?”

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan semalam berkata perkhidmatan guaman akan dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh walaupun sektor tersebut tidak disenaraikan dalam perkhidmatan perlu.

Beliau berkata peguam yang terlibat dalam pendengaran mahkamah bagi pertuduhan baru, perintah reman dan pelbagai jenayah memerlukan permit perjalanan daripada polis sedangkan syarikat korporat dan peguam-peguam korporat dan perniagaan pula perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Zaid berkata permohonan-permohonan itu akan menyukarkan proses kes-kes jenayah yang disifatkan sukar dijangka dan berlaku pada saat-saat akhir.

“Peguam-peguam hanya menerima arahan pada saat-saat akhir dan mungkin tidak memiliki dokumen-dokumen yang diperlukan bagi membuktikan mereka memiliki kes di mahkamah, lebih-lebih lagi dengan klien yang berdepan pertuduhan baru atau permohonan reman yang hanya didaftarkan oleh mahkaman pada pagi kes tersebut didengar.”

Zaid berkata akses kepada badan kehakiman tidak sepatutnya bergantung kepada kebenaran badan penguatkuasaan yang mungkin memiliki kepentingan terhadap mereka yang ditahan.

“Memberikan kuasa kepada polis untuk memutuskan sama ada peguam-peguam boleh pergi ke mahkamah untuk mewakili klien mirip seperti amalan negara polis.”

Beliau berkata kerajaan perlu memainkan peranan memastikan sistem keadilan terus beroperasi sambil menambah ia hanya boleh dilaksanakan jika peguam diberikan akses bebas bagi mewakili anak guam di mahkamah tanpa memerlukan “budi bicara polis”.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak membenarkan sekatan kebebasan asasi yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.