- Iklan -
Berita

PM sambut baik solidariti penjawat awam sumbang elaun RM30 juta

Solidariti itu disifatkan sebagai sokongan penjawat awam terhadap perjuangan petugas barisan hadapan yang berusaha tanpa henti melindungi orang ramai.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Sumbangan penjawat awam melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) membuktikan kebersamaan golongan itu dalam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata solidariti itu juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para petugas barisan hadapan yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi orang ramai daripada jangkitan wabak itu.

Katanya sumbangan oleh penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan Gred 1 hingga 28, akan dimasukkan ke Akaun Amanah Bencana Covid-19.

“Terima kasih penjawat awam. Saya amat menghargai dan menyambut baik solidariti penjawat awam yang turut serta memberi sumbangan kepada negara bagi memerangi Covid-19 melalui potongan ITK dan ITKA.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau.

Selain itu, perdana menteri turut mendoakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tanpa mengira peranan dalam perjuangan memerangi Covid-19 akan terus diberkati Allah SWT.

“Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik Covid-19 melalui pengurangan ITK serta ITKA selama tiga bulan berdasarkan gred perkhidmatan yang dianggar dapat mengumpul lebih RM30 juta.

Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50% bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) A ke atas, Jusa B sebanyak 20%, Jusa C sebanyak 10%, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan ITK, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.

Pada Isnin, Muhyiddin Yassin mengumumkan setiap menteri serta timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun dan ia disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.