- Iklan -
Berita

Kita perlu komunikasi lebih baik, kata pakar berhubung janji temu vaksinasi

Komunikasi yang lebih baik mampu selesaikan banyak isu mereka yang tidak hadir ke PPV.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan bersiap sedia menerima kehadiran orang ramai untuk proses vaksinasi di pusat vaksinasi. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan bersiap sedia menerima kehadiran orang ramai untuk proses vaksinasi di pusat vaksinasi. Gambar: Bernama

Beberapa pakar menggesa komunikasi lebih jelas daripada pihak berkuasa mengenai fakta dan faedah vaksinasi Covid-19 bagi melawan beberapa alasan ribuan orang yang tidak hadir janji temu vaksinasi di seluruh negara.

Felo Kanan Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) Carmelo Ferlito mencadangkan kempen kesedaran dengan penerangan lebih jelas mengenai kemaslahatannya, kategori-kategori yang berisiko dan fakta-fakta berhubung vaksinasi.

“Dari sudut menerangkan semua ini, strategi komunikasi dilihat tidak begitu bagus,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kita biasa dengar vaksinasi tidak cukup untuk buatkan kita kembali kepada kehidupan lama. Orang kemudian fikir: kenapa aku perlu divaksin dan disuntik dengan satu benda yang aku tak pasti, apa jadi sekiranya ini tak jadikan aku jalani semula kehidupan seperti biasa?

“Ini semua adalah persoalan yang perlu ditangani kerajaan.”

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan atau PICK ketika ini berada pada fasa kedua yang melibatkan warga emas dan mereka yang berisiko tinggi.

Data global Our World In Data menunjukkan kadar vaksinasi Malaysia semakin meningkat dengan catatan hampir 6% populasinya divaksin dengan sekurang-kurangnya disuntik suntikan pertama akhir bulan lalu.

Beberapa laporan baru-baru ini turut mendedahkan puluhan ribu yang mendaftar vaksinasi tidak hadir janji temu.

Di Pahang, 10,000 dikatakan tidak hadir sementara di Johor pula mencatat angka 14,000 orang.

Di Negeri Sembilan, sejumlah 6,200 orang gagal hadir janji temu mereka sementara di Kedah dan Perak masing-masing mencatat 10,000 and 9,000 ketidakhadiran.

Antara alasan yang diberikan termasuk gagal memeriksa aplikasi MySejahtera dan terpengaruh dengan berita palsu berhubung vaksin.

Ada juga yang mengatakan tidak sihat dan tidak memiliki pegangkutan untuk hadir ke pusat pemberian vaksin, sementara ada juga segelintir yang didaftar anak-anak mereka namun menolak untuk disuntik.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata pada Isnin purata sebanyak 80% yang mendapat janji temu hadir untuk vaksinasi mereka.

Beliau berkata pihak berkuasa akan terus menghubungi mereka untuk menggalakkan menerima suntikan vaksin.

Selain itu, wujud juga pandangan yang menggesa insentif diberikan untuk meningkatkan kadar vaksinasi seperti apa yang dilaksanakan negara-negara lain.

Namun Carmelo berkata pihak berkuasa tidak perlu memberikan insentif tunai bagi menggalakkan orang ramai hadir janji temu mereka.

“Menawarkan tunai bagi hadir vaksinasi bukanlah pendekatan pasaran yang betul,” katanya.

“Bahkan, proses pasaran adalah berdasarkan pertukaran maklumat, namun di sini wujud kekurangan maklumat.

“Isunya bukanlah insentif atau hadiah tetapi maklumat. Kita perlu bantu orang ramai dapatkan maklumat supaya mereka boleh buat keputusan yang baik dan fikir apa yang seterusnya.”

Sazaly Abu Bakar dari Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (Tidrec) bersetuju maklumat yang jelas diperlukan ketika ini bagi mereka yang mempunyai janji temu vaksinasi.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan sejauh mana keraguan terhadap vaksin itu boleh menjadi sebab utama ketidakhadiran kerana sambutan yang ditunjukkan terhadap AstraZeneca sangat menggalakan dalam program sukarela kerajaan.

“Masalahnya sekarang adalah pelaksanaan yang tidak efektif dan kurang bekalan vaksin,” katanya yang mengulang kritikan biasa yang dihadapi program vaksinasi kerajaan ketika ini.

Terdahulu, Khairy berkata kadar vaksinasi akan meningkat bermula Jun ke depan selepas bekalan vaksin stabil.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Malaysian Dr M Subramaniam berkata “kegagalan sistem” menjadi sebab merujuk aplikasi MySejahtera selain pusingan U yang dilakukan kerajaan berhubung rancangan membenarkan orang ramai untuk memilih vaksin mereka.

“Ini boleh menyeababkan orang ramai kurang yakin terhadap usaha vaksinasi.

“Kerajaan perlu ambil pendekatan yang lebih mesra rakyat dengan membantu daripada menyusahkan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Carmelo percaya akses maklumat mengenai vaksin adalah satu perkara yang utama.

Dengan maklumat yang betul, katanya, orang ramai akan bebas untuk pilih sama ada mahu divaksin atau tidak.

Beliau menyokong denda dikenakan terhadap yang mendaftar namun gagal hadir janji temu namun menambah ia mestilah setimpal dengan kesalahan itu.

“Mereka sudah ‘curi’ slot itu daripada orang lain yang hendak divaksin. Namun kita bukanlah cakap tentang rogol atau rompak bank,” katanya.