- Iklan -
Berita

Duta UAE ambil ‘berkat’ rabbi Israel, cetus kemarahan aktivis Palestin

Al-Khaja menundukkan kepala dan khusyuk mendengar doa agar beliau berjaya dalam misinya di Israel oleh rabbi Ashkenazi Israel.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mohammed Al-Khaja menundukkan kepala mendapatkan 'berkat' dari Rabbi Ashkenazi Shalom Cohen, pemimpin spiritual Parti Shas dari gabungan politik kerajaan. Gambar: Twitter
Mohammed Al-Khaja menundukkan kepala mendapatkan 'berkat' dari Rabbi Ashkenazi Shalom Cohen, pemimpin spiritual Parti Shas dari gabungan politik kerajaan. Gambar: Twitter

Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Israel Mohammed Al-Khaja mendapat kecaman di media sosial selepas bertemu pemimpin spiritual sebuah parti di Israel untuk mengambil berkat di samping mengkritik gambaran yang diberikan media terhadap negara Zionis itu.

Pertemuan Al-Khaja dengan Rabbi Shalom Cohen itu mendapat liputan meluas media Israel dan dunia Arab selepas video menunjukkan beliau diberkati dan didoakan oleh rabbi Yahudi tersebut.

Ia menjadi tular di media sosial terutamanya Twitter.

“Wallahi, aku sukar nak ungkap apa yang berlaku ini. Gambar jelas dan aku tak tahu macam mana nak komen.

“Anda semua tengoklah duta UAE Zionis Mohammed Al-Khaja ini, melawat rabbi Shalom Cohen di rumahnya di Baitulmaqdis.

“Berjumpa dan ambil berkat. Kalian komenlah sendiri..” Kata aktivis Palestin Adham Abu Salimah dalam sebuah ciapan di Twitter.

Normalisasi melalui Perjanjian Abraham antara UAE dan Israel September tahun lalu di Washington menyebabkan kekecewaan antarabangsa dan dilihat sebagai pengkhianatan kepada perjuangan Palestin sejak tahun 1948.

UAE turut meluluskan penubuhan kedutaannya di Tel Aviv pada Januari lalu.

Lawatan Al-Khaja terhadap Rabbi Ashkenazi itu adalah dalam usaha awalnya untuk mengenal pasti lokasi kedutaan UAE dan tempat tinggal rasminy di Isarel selepas dilantik sebagai duta.

Seorang pengguna Twitter @bughanim73_q dari Qatar berkata apa yang dilakukan Al-Khaja itu sudah memang dijangka.

“Kami sudah katakan sebelum ini. Inilah apa yang UAE sedang lakukan di negara Teluk. Tapi tak ada orang yang percaya. Gambar ini sudah menjelaskannya sekarang,” ciapnya.

“Gambar yang menjijikkan, Duta UAE di Israel lawati Rabbi Shalom Cohen dan menerima restu daripadanya,” ciap seorang pensyarah dan peguam Palestin Dr Mo’taz Ahmad.”

Di dalam video yang tular tersebut Al-Khaja berkata beliau datang bertemu Shalom bagi mendapatkan “berkat” dalam misinya di Israel sebagai seorang duta.

“Saya datang bertemu anda untuk dapatkan berkat restu daripada anda untuk misi saya (di Israel).

“Pertama kali datang ke sini saya terkejut, tengok orang hidup dan ramai orang yang baik dan mesra.

“(Berlainan) dengan apa yang Aljazeera, Ikhwan Muslimin tunjukkan kepada kami.”