- Iklan -
Berita

PH mahu kerajaan belanja 10 kali ganda agihkan tunai

Pemimpin pembangkang berkata kerajaan mesti lebih 'berani' untuk berbelanja dengan mencadangkan RM1,000 diberikan kepada pekerja sehingga akhir tahun ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung bantuan berjumlah RM40 bilion yang diumumkan kerajaan semalam bagi membantu beberapa sektor untuk terus kekal bertahan dalam menjalani sekatan penuh pergerakan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).

Antara lain, mereka menggesa kerajaan untuk membelanjakan RM45 bilion dalam bentuk suntikan tunai di samping menyifatkan jumlah RM5 bilion yang diumumkan semalam tidak cukup.

“Kerajaan Perikatan Nasional ini sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menyelamatkan negara dari kancah kemelesetan,” kata sebuah kenyataan yang ditandatangani Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Mereka turut menggesa lebih banyak bantuan diberikan kepada golongan berpendatan sederhana M40 selain moratorium bank secara automatik sehingga imuniti kelompok dapat dicapai melalui program vaksinasi ketika ini.

Gabungan pembangkang itu turut berkata kerajaan mesti membelanjakan RM7 bilion sepanjang tujuh bulan seterusnya dengan membayar RM1,000 kepada pekerja-pekerja sehingga akhir tahun ini.

Sementara itu, mereka turut mempertikaikan pengumuman bahawa barisan Kabinet kerajaan tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan.

Mereka berkata jumlah tersebut tidak sepadan dengan menteri dan timbalan menteri kerana “mereka masih menerima elaun bulanan ahli Parlimen”, kata kenyataan itu lagi dengan turut menambah sidang Parlimen harus bersidang sebagai “langkah pertama” yang perlu diambil kerajaan.

Semalam, kerajaan mengumumkan inisiatif Pemerkasa Plus berjumlah RM40 bilion sebagai tambahan kepada program-program bantuan terdahulu.

Program dan inisiatif yang diumumkan kerajaan adalah demi meminimumkan impak dan kesan sekatan penuh pergerakan yang bermula hari ini hingga 14 Jun depan.

Pelbagai inisiatif diumumkan dengan tiga objektif utama termasuk mengukuhkan sistem kesihatan negara, menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat dan membantu perniagaan yang terjejas.