- Iklan -
Berita

Penjawat awam bersolidariti, sumbang elaun RM30 juta kepada Akaun Amanah Bencana

Imbuhan tetap keraian (ITK) dan imbuhan tetap khidmat awam (ITKA) penjawat awam pelbagai tahap akan disumbang kepada akaun amanah bencana.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja perkhidmatan awam di hari terakhir di pejabat mereka Oktober lalu selepas perintah kawalan pergerakan mengarahkan mereka untuk bekerja dari rumah. Gambar:Bernama
Pekerja perkhidmatan awam di hari terakhir di pejabat mereka Oktober lalu selepas perintah kawalan pergerakan mengarahkan mereka untuk bekerja dari rumah. Gambar:Bernama

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan solidariti penjawat awam dalam mendepani pandemik Covid-19 ketika ini dengan menyumbangkan sejumlah RM30 juta elaun tetap yang dinikmati penjawat awam pelbagai tahap kepada Akaun Amanah Bencana.

Dalam sebuah kenyataannya hari ini, Zuki menyifatkan sumbangan tersebut sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dan tanda kebersamaan dalam usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

“Sebahagian imbuhan tetap keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta imbuhan tetap khidmat awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

“Sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam (tidak termasuk frontliners serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28) adalah dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.”

Menurut Zuki, penjawat awam sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota Perkhidmatan Awam dan ahli keluarga kita.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program-program pakej bantuan sejak tahun lalu.

Pelbagai inisiatif diumumkan bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara selain menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas.