- Iklan -
Berita

Menteri Arab Saudi pertahan keputusan rendahkan had bunyi pembesar suara masjid

Abdullatif berkata arahan tersebut adalah sebagai respons terhadap aduan orang ramai yang berkata ia mengganggu anak kecil dan orang tua.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Arab Saudi sering dilihat sebagai sebuah negara konservatif dengan dasar-dasar yang keras. Usaha liberalisasi yang dimulakan pemimpin muda Mohammed bin Salman cuba mengubah imej negara untuk dilihat lebih bebas. Gambar: AP
Arab Saudi sering dilihat sebagai sebuah negara konservatif dengan dasar-dasar yang keras. Usaha liberalisasi yang dimulakan pemimpin muda Mohammed bin Salman cuba mengubah imej negara untuk dilihat lebih bebas. Gambar: AP

Menteri hal ehwal Islam Arab Saudi mempertahankan perintah kontroversi berhubung had bunyi sistem pembesar suara masjid dengan mengatakan ia adalah susulan aduan orang ramai mengenai gangguan bunyi yang melampau di negara itu.

Dalam pengumumannya berhubung had pembesar suara itu, Abdullatif Al-Syeikh berkata semua pembesar suara mesti diselaraskan kepada satu pertiga bunyi maksimumnya.

Arahan tersebut yang turut mengehadkan pembesar suara hanya untuk kegunaan sewaktu azan dan tidak digunakan untuk ceramah dan khutbah agama telah mengundang kecaman golongan konservatif di media sosial.

Abdullatif berkata arahan tersebut adalah sebagai respons terhadap aduan orang ramai yang berkata ia mengganggu anak kecil dan orang tua.

“Mereka yang mahu menunaikan solat tidak perlu tunggu suara imam,” untuk pergi solat kata Abdullatif dalam sebuah video yang diterbitkan oleh saluran televisyen rasmi negara itu.

“Mereka harus ada di masjid sebelum suara imam mengangkat takbiratulihram,” tambahnya.

Beberapa saluran televisyen lain yang turut menyiarkan siaran langsung bacaan Al-Quran, dan solat turut dicadangkan juga sudah ada kata Abdullatif.

Menurutnya semua saluran itu sudah pun memadai, dan pembesar suara masjid tidak perlu digunakan untuk tujuan tersebut.

Bagi negara yang memiliki ribuan masjid, ramai yang mengalu-alukan keputusan kerajaan tersebut.

Namun ia heboh dibahaskan di media sosial sehingga beberapa tanda pagar dibuat bagi mengecam keputusan tersebut.

Bagaimanapun, Abdullatif berkata kritikan dan kecaman terhadap dasar tersebut ditularkan oleh mereka yang digelarnya sebagai “musuh kerajaan” dan mahu mempengaruhi “pandangan awam”.

Dasar terbaru itu adalah susulan dari dasar liberalisasi Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman yang ketika ini dilihat mahu memulakan era yang lebih terbuka dan bebas.

Pemimpin muda Saudi itu turut melonggarkan sekatan-sekatan sosial di negara konservatif tersebut dengan dasar-dasar lebih terbuka termasuk membatalkan larangan pembukaan pawagam dan membenarkan golongan wanita untuk memandu kereta selain membenarkan konsert yang membolehkan percampuran lelaki dan wanita.

Kelonggaran sosial itu dialu-alukan ramai warga Saudi yang memiliki dua pertiga populasi berusia di bawah 30 tahun.

Arab Saudi juga turut menyekat kuasa polis moral yang dilihat sering menakutkan orang ramai dan memaksa mereka di pasar raya untuk menunaikan solat selain memarahi sesiapa yang dilihat bergaul berlawanan jantina.

Putera mahkota juga turut menjanjikan sebuah negara yang lebih “sederhana” dalam percubaan untuk mengubah imejnya yang terkenal keras namun dalam masa yang sama dilihat cuba mendiamkan suara-suara yang menentang beliau.

Sejak tiga tahun lalu, kerajaan Arab Saudi telah menahan puluhan aktivis wanita, ulama dan wartawan selain ahli kerabat diraja.