- Iklan -
Berita

JPV Perak kesan lembu, kerbau diserang penyakit kulit

JPV telah menjalankan pemantauan rapi di ladang tersebut selain ladang-ladang ternakan yang terdapat di negeri ini supaya lembu sakit ini tidak dijual di pasaran.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai dinasihatkan tidak perlu panik kerana mana-mana ternakan yang hendak disembelih mesti mendapat kebenaran daripada JPV. Gambar: Pexels
Orang ramai dinasihatkan tidak perlu panik kerana mana-mana ternakan yang hendak disembelih mesti mendapat kebenaran daripada JPV. Gambar: Pexels

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mengesan penularan penyakit kulit kental/berbonjol atau lumpy skin disease (LSD) yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau di sebuah ladang ternakan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Razman Zakaria berkata LSD itu yang menjangkiti kulit pada badan ternakan, dikesan tercetus di sebuah ladang ternakan lembu di Simpang Pulai.

Justeru, pihak JPV telah menjalankan pemantauan rapi di ladang tersebut selain ladang-ladang ternakan yang terdapat di negeri ini supaya lembu-lembu yang sakit ini tidak dijual di pasaran.

“Penyakit LSD itu dikesan berlaku di beberapa kawasan di Asia dan baru dikesan di negara ini. Pengawalan sedang dipantau JPV dan penyakit itu masih terkawal kerana ia hanya berjangkit sesama ternakan melalui kontak rapat haiwan itu serta tidak merebak mahupun membahayakan manusia.

“Orang ramai juga tidak perlu panik kerana mana-mana ternakan yang hendak disembelih mesti mendapat kebenaran daripada JPV dalam memastikan ia bebas daripada penyakit berjangkit,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan pemantauan harga barang bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) di Pasar Awam Bagan Serai.

Razman berkata tindakan undang-undang boleh diambil kepada penternak yang didapati menjual daging yang berpenyakit termasuk boleh dikenakan denda RM25,000 di bawah Seksyen 31 (4)(a) Akta Binatang 1953.

Beberapa negara dilaporkan telah mengesan penularan penyakit LSD yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau sejak 2019 antaranya Bangladesh (Jul 2019), India (Ogos 2019), China (Ogos 2019), Bhutan (Okt 2020), Hong Kong (Nov 2020), Nepal (Jul 2020), Sri Lanka (Jan 2021) dan terbaharu di Thailand (April 2021).

Penyakit kulit berbonjol adalah penyakit berjangkit dalam kalangan lembu dan kerbau yang disebabkan oleh virus dan selain menunjukkan gejala seperti demam, penyakit ini juga akan menyebabkan kelenjar limfa yang membesar dan bintil berganda pada kulit dan membran mukus.

Dalam perkembangan lain, Razman berkata pihaknya mengesan lambakan hasil pertanian seperti timun, cili, jagung dan pisang apabila petani mengadu bahawa hasil pertanian mereka tidak dapat dijual atau mengalami penurunan harga antara 30 sen hingga 40 sen sekilogram.

“Kita sedang berbincang dengan Fama bagi mencari jalan penyelesaian untuk membantu petani terbabit,” katanya dan menambah kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik untuk memastikan tiada lambakan berlaku serta mengelak kekurangan bekalan makanan.