- Iklan -
Berita

Terpengaruh berita palsu, tak semak MySejahtera antara punca tidak hadir vaksinasi

Di Pahang, Raub merupakan daerah paling tinggi mencatatkan jumlah ketidakhadiran vaksinasi iaitu 45%.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Program vaksinasi kebangsaan dimulakan sejak 24 Februari lalu.
Program vaksinasi kebangsaan dimulakan sejak 24 Februari lalu.

Tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan terpengaruh dengan berita tidak benar berkaitan vaksin dikenal pasti sebagai antara punca 10,000 penduduk Pahang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata alasan itu diterimanya selepas beliau mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung isu ketidakhadiran di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pahang.

Beliau berkata Raub merupakan daerah paling tinggi mencatatkan jumlah ketidakhadiran iaitu 45% diikuti Pekan (43%), Maran (40%), Bera (28%) manakala Bentong dan Jerantut masing-masing mencatatkan 22%.

“Selain tidak sedar akan lokasi, masa dan tarikh janji temu vaksin yang diberikan oleh aplikasi MySejahtera, ada juga yang memberikan alasan terlupa.

“Terdapat kalangan warga emas yang berubah fikiran selepas terpengaruh dengan berita tidak benar tentang vaksin yang disebarkan ahli keluarga atau sahabat atau yang tular di media sosial,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi beliau.

Wan Rosdy berharap golongan muda dapat membantu menyemak dan mengingatkan ibu bapa khususnya mereka yang telah berusia berhubung janji temu suntikan vaksin supaya tidak terlepas perkara penting itu.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan terus mendapatkan maklum balas daripada rakyat Pahang berhubung isu ketidakhadiran janji temu suntikan vaksin walaupun telah mendaftar untuk menerima suntikan tersebut.

“Ini kerana kita mesti berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok dengan segera dan ini hanya boleh dicapai jika sebahagian besar kita telah menerima vaksin supaya dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.