Sunday, June 20, 2021

Menenun semangat pejuang melawan Covid-19 dalam sambutan Gawai

Tiada perayaan meriah beramai-ramai dibenarkan tahun ini, namun orang Sarawak tetap terus hidupkan semangat perayaan.

Other News

Di sebuah rumah panjang di Sebauh, Sarawak, sekumpulan wanita masyarakat Iban biasanya akan duduk dan berbual-bual sambil ditemani biskut dan teh manis di sebuah ruang astaka kayu yang terbuka dikenali sebagai ruai.

Setiap tahun, wanita-wanita di Rumah Raymond Plen akan beramai-ramai menenun kain ngepan yang digunakan untuk pakaian tradisional yang biasanya dipakai wanita muda sepanjang pesta Gawai Dayak.

Ini adalah sebahagian acara penting daripada perayaan itu yang turut menganjurkan pertandingan ratu cantik Kumang, di mana setiap wanita muda akan memperagakan ngepan.

Sudan Anak Ruma, yang menenun kain ngepan selama 40 tahun, berkata ini adalah acara rumah panjang yang paling dinanti-nantikan.

“Pada malam Gawai, semua wanita muda akan memakai ngepan dan semua orang teruja untuk menonton, dan bersorak bagi menyokong mereka yang menyertai pertandingan ratu cantik,” kata wanita berusia 61 tahun itu kepada MalaysiaNow.

Kain ngepan sedang ditenun dengan tangan.

Asal-usul kain ngepan adalah daripada sumber semula jadi seperti rotan, kulit pohon, cengkerang, kulit binatang dan juga sisik tenggiling.

“Malah benang untuk kain itu juga dibuat daripada kapas mentah,” kata Sudan.

Walaupun sukar untuk mencari bahan-bahan itu hari ini sehingga perubahan dilakukan kepada pakaian tradisi itu, ia masih memainkan peranan besar dalam menjadikan perayaan itu bermakna.

Selain itu, ini adalah peluang bagi wanita muda untuk bersantai dan bergembira.

“Orang perempuan suka menggayakan baju dan memakai perhiasan,” tambah Sudan.

Namun, perayaan tahun ini sangat berbeza bagi Sudan dan keluarganya kerana mereka tidak dapat pulang ke rumah panjang mereka.

Ruang astaka yang kini dilarang sebarang aktiviti beramai-ramai.

Prosedur operasi standard (SOP) kesihatan Covid-19 menyebabkan Sudan yang tinggal bersama anak perempuannya Diana Sujata Anak Bundi di Bintulu tidak dapat pulang ke rumah panjangnya yang terletak kira-kira 100km dari bandar itu.

“Tak ada ngabang, tak ada pertemuan bersama keluarga,” kata Sudan, menggunakan perkataan Iban yang bermaksud berziarah.

“Tahun ini, kita raikan Gawai secara sederhana sahaja.”

Oleh kerana perayaan tidak dibenarkan ketika ini, mereka juga mengambil keputusan untuk mengurangkan persiapan perayaan berbanding sebelum ini dengan hanya membeli barang keperluan bagi menyambut perayaan tersebut.

Selama beberapa minggu, Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang kekal berada di bawah status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Namun, disebabkan trend peningkatan kes masih berterusan, status PKPB diperketatkan kepada PKP semula pada 29 Mei lalu.

Tahun lalu, ketika pandemik pertama kali dikesan di Sarawak, kebanyakan kes dilaporkan di kawasan bandar.

Malangnya, tahun ini penularan mulai menjalar ke kawasan-kawasan luar bandar.

Laluan ke setiap rumah juga lengang. Penduduk rumah panjang tidak dibenarkan berkunjung antara satu sama lain bagi mengelak penularan Covid-19.

Kecuaian dalam pematuhan SOP menyebabkan 714 rumah panjang ditempatkan di bawah PKP diperketatkan (PKPD) pada tahun ini.

Setakat ini, 98 rumah panjang masih diletakkan di bawah “lockdown”.

Di rumah panjang mereka di Sebauh, jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung (JKKK) di Rumah Raymond Plen meningkatkan langkah-langkah bagi mencegah penularan Covid-19 sepanjang perayaan Gawai.

Antara lainnya, perayaan tersebut hanya boleh diraikan dalam kalangan ahli keluarga “bilik” di rumah panjang yang sama.

Ketua JKKK Raymend Anak Plen memberitahu MalaysiaNow jawatankuasa menyekat laluan ke ruai bagi mencegah penduduk kampung pergi berziarah ke rumah orang lain.

Beliau juga mengarahkan mereka yang tinggal di rumah panjang yang terdiri dari 53 pintu itu untuk duduk di rumah dan tidak keluar kecuali jika terpaksa.

“Kami sangat serius dalam hal ini kerana kami tidak mahu virus ini merebak dan mempengaruhi penduduk di rumah panjang,” katanya sambil menambah terdapat lebih dari 100 orang tinggal di rumah panjang tersebut.

Selain itu, berkumpul di kawasan lapang juga tidak dibenarkan sementara acara seperti sabung ayam dihentikan.

Denda juga akan dikenakan ke atas pesalah menurut adat Iban yang dikenali sebagai adat geliga.

“Ketika orang Iban mengatur majlis seperti Gawai, majlis perkahwinan atau pengebumian, denda dikenakan bagi mereka yang melanggar peraturan.

“Apa yang boleh saya katakan ia ibarat ‘PKP’ gaya rumah panjang Iban,” tambahnya.

Diana memperagakan pakaian tradisional marik empang yang dihasilkan sendiri bersama ibunya.

Di bandar pula, Sudan dan Diana akan cuba membuat persiapan sebaik mungkin untuk meraikan Gawai dalam suasana pandemik.

Mereka menghias rumah, memakai pakaian tradisional, dan memasak makanan tradisional iaitu ayam pansuh – ayam yang dimasak dalam buluh.

“Walaupun kami tidak dapat balik ke rumah panjang kami untuk meraikan Gawai, namun kami tetap bersemangat dan akan terus menghasilkan kain ngepan dan marik empang untuk pelanggan kami,” kata Sudan, merujuk pakaian hiasan dada berasingan yang dilengkapi dengan manik berwarna-warni dan dipakai di bahu.

“Saya harap mereka yang memakai kain ngepan akan memiliki semangat pejuang untuk melawan virus,” katanya.

“Kami harap vaksinasi yang dijalankan dapat cepat-cepat dilaksanakan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles