- Iklan -
Berita

KPN serahkan siasatan berhubung kartel polis kepada EIAC

Ketua polis negara berkata beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dalam pasukan polis.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. Gambar: Bernama

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata pihak polis akan memberikan laluan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EIAC) untuk menyiasat dakwaan-dakwaan berhubung kewujudan kartel polis dan sebarang salah laku anggota pasukannya.

Dalam sidang media hari ini, beliau mengalu-alukan siasatan tersebut di samping turut berkata surat rasmi telah diberikan kepada suruhanjaya itu unutk menyiasat kewujudan kartel dalam pasukan polis.

“Kami hands off. Biarlah pihak ketiga yang buat siasatan secara telus,” katanya.

Beliau turut berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dalam pasukan polis.

“Saya akan pastikan setiap usaha, setiap apa juga langkah yang kita buat, kita akan tegakkan integriti.

“Tidak ada kompromi, tidak ada tolak ansur,” tambahnya.

Dakwaan berkenaan kewujudan kartel dalam pasukan polis timbul selepas ia didedahkan oleh bekas ketua polis Abdul Hamid Bador.

Hamid berkata kartel melibatkan pegawai-pegawai muda tersebut cuba mencalarkan imej beliau.

“Ada usaha untuk mengaibkan, menjatuhkan saya daripada kumpulan ini (kartel).

“Saya ingin menasihatkan mereka, hentikan perbuatan jijik ini, sedar diri bahawa pasukan ini bukan kita punya, bukan padang permainan kita” katanya dalam sebuah temu bual bersama Sinar Harian pada Mac lalu.