- Iklan -
Berita

Data tunjukkan Malaysia susuli trend kenaikan kadar vaksinasi global

Malaysia turut mendahului beberapa negara yang menjalankan program vaksinasi mereka lebih awal.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Kadar vaksinasi Covid-19 di seluruh dunia yang semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu sebaik sahaja vaksin berjaya dibekalkan menunjukkan tanda positif imuniti kelompok dapat mencapai sasaran pada tahun ini.

Data daripada senarai 20 negara dengan populasi antara 32 juta hingga 60 juta meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang mempunyai peratusan tinggi menjalankan vaksinasi sekurang-kurangnya bagi dos pertama vaksin.

Statistik yang dikumpul secara dalam talian oleh pusat data Our World In Data menunjukkan angka orang ramai yang divaksin di beberapa negara meningkat sekali ganda dalam masa satu bulan.

Setakat 29 Mei, 5.9% populasi Malaysia menerima sekurang-kurang suntikan pertama mereka.

Antara negara-negara dalam julat populasi yang sama, Malaysia mengatasi Ukraine dan Afrika Selatan dari sudut kadar vaksinasi Covid-19, walaupun kedua-dua negara itu menjalankan program vaksinasi mereka lebih awal.

Namun, statistik tersebut tidak memberika makna besar jika dibanding dengan gambaran besar kejayaan vaksinasi namun ia mampu memberikan perbandingan sekilas pandang berhubung kadar vaksinasi dalam kalangan negara yang memiliki saiz populasi yang serupa atau lebih dari Malaysia.

Sebelum ini,  Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menzahirkan  keyakinannya dengan kadar program vaksinasi Covid-19, mengatakan jutaan lagi dos akan tiba ke negara ini dalam tempoh dua bulan.

Khairy  berkata Malaysia akan menerima bekalan sekurang-kurangnya dari tiga syarikat berdasarkan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Beliau berkata sebanyak dua juta dos suntikan vaksin Pfizer akan dihantar pada Julai depan, sementara 12 juta dos vaksin Sinovac dari China akan tiba pada Jun dan Julai.

Beliau turut berkata kadar vaksinasi akan meningkat dari Jun depan sebaik sahaja bekalan vaksin stabil.

“Dengan unjuran kadar yang kita sasarkan, saya yakin kita mampu selesaikan pada akhir tahun ini,” katanya dalam sebuah bidasan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa Malaysia lamban di belakang negara-negara lain dalam sasarannya mencapai imuniti kelompok.