- Iklan -
Berita

Isu anak tidak sah taraf akan dibangkitkan di Kabinet, kata Zuraida

Beliau berkata tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar dia tidak sah taraf.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin akan mengetengahkan kes permohonan seorang kanak-kanak lelaki untuk menjadi warganegara ditolak di Kabinet.

Zuraida berkata tiada kanak-kanak yang seharusnya dinafikan kewarganegaraan atas sebab tidak sah taraf.

Beliau berkata demikian selepas majoriti panel hakim di Mahkamah Persekutuan memutuskan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tidak layak mendapat kerakyatan Malaysia, walaupun bapanya seorang warganegara manakala ibunya seorang warganegara Filipina.

Kanak-kanak tersebut dilahirkan di Filipina pada September 2010.

Beberapa bulan selepas dilahirkan, kanak-kanak lelaki itu berpindah ke Malaysia bersama ibu bapanya yang mendaftarkan perkahwinan mereka pada Februari 2011.

Menurut Zuraida, kes tersebut mengesahkan lagi kes-kes berkaitan status kerakyatan anak tidak sah taraf yang telah pun diputuskan sebelum ini, bertentangan dengan semangat keadilan dan belas ihsan.

“Tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar dia tidak sah taraf,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya akan membangkitkan kes ini kepada menteri bertanggungjawab atau di kabinet, demi memastikan dia mendapat status kewarganegaraan secara pendaftaran, mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah tiba masanya untuk kita tamatkan kerosakan yang ditimpa kepada orang yang tidak bersalah ekoran peruntukan yang sudah ketinggalan zaman, iaitu Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan, yang digunakan untuk penghakiman majoriti dalam kes tersebut,” tambah Zuraida yang komited untuk pemansuhan dan pindaan perkara tersebut.

Semasa keputusan panel hakim dijalankan, presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf berkata Perkara 17 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan anak yang tidak sah taraf haruslah mengikut kewarganegaraan ibu mereka, yang dianggap diperoleh semasa anak itu berpindah ke Malaysia menggunakan pasport yang dikeluarkan oleh kerajaan Filipina.

Beliau juga berkata status sah taraf kanak-kanak itu menghalangnya daripada menjadi warganegara selepas kelahirannya berdasarkan undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.