- Iklan -
Berita

Bekas peguam negara kongsi idea Kabinet ‘terbaik’, tanpa Melayu

Tommy turut mengkritik kadar pemberian vaksin di Malaysia mengatakan negara jauh tertinggal di belakang Israel, AS dan UK.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP
Bekas peguam negara Tommy Thomas. Gambar: AFP

Tommy Thomas baru-baru ini memberikan contoh Kabinet yang terdiri daripada “yang terbaik dan terbijak” tanpa memasukkan seorang pun menteri Melayu, dalam ulasan yang mungkin mengundang kritikan dia menunjukkan sifat rasisme terhadap Melayu dalam buku yang terbit kira-kira empat bulan lalu.

Dalam sebuah temu bual dengan Astro Awani pada 28 Mei lalu, Thomas ditanya jika dia fikir kemungkinan akan ada seorang lagi bukan Melayu dilantik bagi menduduki jawatan peguam negara di Malaysia susulan kontroversi yang muncul selepas penerbitan memoirnya, “My Story: Justice in the Wilderness”.

“Tiada sebab mengapa perdana menteri hari ini tak boleh katakan ‘saya nak pilih yang terbaik dan terbijak’ dan jika ia bermaksud dalam Kabinetnya ada 10 orang Cina, lima India dan lima dari Sabah dan Sarawak, tak ada apa-apa pun akan berlaku,” kata Thomas dalam program “Consider This”.

“Matahari akan terus bersinar, dan burung-burung akan terus menyanyi. Dan Malaysia merupakan sebuah negara yang stabil,” katanya.

Awal tahun ini, Thomas dikecam pimpinan politik daripada kerajaan dan pembangkang selain pegawai kanan perkhidmatan awam berhubung tanggapan beliau pegawai-pegawai di Pejabat Peguam Negara tidak kompeten untuk menangani kes-kes berprofil tinggi termasuk kes 1MDB.

Thomas dalam bukunya antara lain menuduh kerajaan yang dipimpin Melayu tidak melakukan apa-apa ketika serangan bersifat “rasis” ditujukan ke atas ahli politik bukan Islam dari DAP di samping beranggapan masyarakat Melayu seakan-akan sudah “dicuci otak”.

Thomas menjadi bukan Melayu pertama yang dilantik sebagai peguam negara, beberapa minggu selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 pada 2018.

Beliau meletakkan jawatan susulan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020.

Kritikan Thomas terhadap peguam kerajaan menyebabkan kecaman dari penggantinya Idris Harun yang menyifatkan bekas peguam negara itu “berfikiran sempit” dan tidak tahu akan peranannya.

Buku ditulis Thomas, yang dimulakan dengan sebuah bab yang menceritakan keanggotaannya dalam masyarakat Kristian Syria merupakan sebuah “rahmat tak terkira” turut dikecam Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai sebuah karya melulu, tidak sensitif dan rasis.

“Ia adalah sikap prasangka terhadap kaum Melayu kesan daripada sikap perkauman yang bertahun-tahun lamanya,” kata Anwar dalam sebuah respons terhadap dakwaan-dakwaan dalam bukunya.

Sementara itu, dalam temu bualnya dalam Astro Awani, Thomas mengelak soalan-soalan pengacara berhubung perintah darurat.

Sebaliknya, beliau berkata jika masih memegang jawatan peguam negara, dia akan selesaikan masalah kadar perlahan pemberian vaksin ketika pandemik masih berada pada tahap awal.

Thomas kemudian menamakan Israel selain Amerika Syarikat dan United Kingdom yang berjaya selesaikan masalah pandemik Covid-19 melalui vaksin.

“Kita jauh ketinggalan di belakang dalam vaksinasi,” katanya.

Walaupun Israel ketika ini sudah mencapai imuniti kelompok, kumpulan hak asasi manusia mengkritiknya kerana mengamalkan diskriminasi terhadap Palestin di wilayah yang terjajah.

“Walaupun Israel meraikan kejayaan program vaksinasinya, jutaan lagi warga Palestin yang hidup dalam kawalan Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza tidak menerima sebarang vaksin dan terpaksa menunggu lebih lama – sukar untuk bayangkan bagai warga Israel boleh menganggap nyawa mereka lebih bernilai daripada warga Palestin,” kata badan antarabangsa Amnesty International dalam sebuah kenyataan pada Januari.