Sunday, June 20, 2021

KP kesihatan tegur pergerakan besar-besaran menjelang ‘total lockdown’

Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang ramai bantu sistem kesihatan negara yang mungkin lumpuh jika kes tidak terkawal.

Other News

Laporan pergerakan besar-besaran di tol Gombak di Lebuhraya Karak, menghala ke pantai timur mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau merayu orang ramai membantu menyelamatkan sistem kesihatan negara yg bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes tidak terkawal.

“Sekiranya kami rebah, anda dan keluarga mungkin tidak akan menerima rawatan yang sebaiknya. Jika lebih malang, tiada lagi katil di hospital.

“Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Sebelum ini tular gambar kesesakan lalu lintas di tol Gombak dan tol Sungai Besi bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan.

Semalam Putrajaya mengumumkan pelaksanaan “total lockdown” atau perintah kawalan pergerakan (PKP) skala penuh di seluruh negara dari 1 hingga 14 Jun ketika kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.

Noor Hisham menegur tindakan segelintir rakyat yang mengambil kesempatan bergerak merentas negeri menjelang perlaksanaan “total lockdown” pada 1 Jun ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting.

“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung Covid-19,” katanya.

Di Twitter hari ini tanda pagar #RakyatGagal turut trending apabila netizen melahirkan kekecewaan dengan situasi tersebut, selain beberapa laporan pembelian panik di pasar raya.

Ini selepas kes harian mencecah angka 9,000 hari ini.

“Saya penat mendengar ‘kerajaan gagal’, tolong jangan letakkan 100% kesalahan pada kerajaan jika anda juga gagal nak jaga. Ini tanggungjawab kita juga,” luah seorang pengguna Twitter.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles