Sunday, October 24, 2021

Sarawak boleh jadi negeri pertama selesai program imunisasi, kata Khairy

Beliau berkata 4.4 juta dos akan dihantar, cukup untuk vaksinasi 2.2 juta penduduk negeri itu.

Other News

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin hari ini memberikan jaminan kepada kerajaan Sarawak bahawa negeri itu akan menerima 4.4 juta dos vaksin Covid-19 bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negeri itu sebelum akhir Ogos depan.

Bercakap pada sidang media di Kuching, beliau berkata bekalan besar-besaran sebanyak 380,000 dos akan dihantar setiap minggu sehingga mencapai 4.4 juta dos pada akhir bulan Ogos.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak, terutama ketua menteri dan Douglas Uggah (timbalan ketua menteri) kerana tawaran untuk dapatkan bekalan vaksin sendiri.

“Apa pun, kerajaan pusat berikan jaminan kami akan berikan bekalan penuh vaksin kepada Sarawak.”

Beliau berkata vaksin akan dihantar untuk 2.2 juta penduduk di negeri itu sebelum akhir Ogos.

Bagi melengkapkan program imunisasi di Sarawak dalam tempoh itu, Khairy yang juga merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi berkata negeri itu mesti menjalankan vaksinasi dengan kadar tidak kurang dari 45,000 suntikan setiap hari.

“Fokus kami sekarang ini adalah bagaimana untuk laksanakannya supaya bila sampai sahaja bekalan di Sarawak, kita boleh suntik dengan segera.

“Dengan kadar purata tersebut, kami dapat lengkapkan vaksinasi bagi rakyat Sarawak sebelum akhir Ogos,” katanya.

Khairy turut berkata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Sarawak bersama jabatan pengurusan bencana negeri (JBPN) akan menggerakkan satu pasukan untuk menjalankan program vaksinasi di kawasan pedalaman.

“Kami juga akan buka PPV industri di kawasan-kawasan kilang dan perladangan. Kami akan tubuhkan jawatankuasa untuk pastikan pekerja-pekerja di kilang dan perladangan divaksin.

“Jadi, tumpuan diberikan untuk tambah sumber manusia bagi tingkatkan kapasiti di pusat-pusat vaksinasi.”

Beliau berkata mereka juga bersetuju untuk membuka lebih banyak pusat vaksinasi di Sarawak.

“Ketika ini, ada tujuh hospital swasta dan 39 klinik swasta yang sudah diwartakan untuk PICK,” katanya sambil menambah Sarawak akan melaksanakan sistem imunisasi hibrid bagi mempercepatkan operasi program vaksinasi.

Beliau berkata negeri-negeri lain juga akan dilawat beliau beberapa minggu akan datang untuk melihat sendiri perjalanan program imunisasi di seluruh negara.

Ketika ditanya sama ada Sarawak diutamakan ketika ini untuk menerima bekalan penuh vaksin ekoran kebimbangan berhubung pilihan raya negeri, beliau berkata Sarawak perlu mencapai imuniti kelompok bagi mengelakkan gelombang baru jangkitan Covid-19.

Beliau memetik Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lalu yang mencetuskan peningkatan mendadak jangkitan selepas orang ramai pulang untuk mengundi.

“Ini bukan hal pilihan politik, tetapi satu kemestian mengikut undang-undang dalam isu kesihatan awam. Jika perintah darurat berakhir pada 1 Ogos, mengikut undang-undang, Sarawak mesti jalankan pilihan raya dalam masa 60 hari.

“Jika perkara itu kita fikirkan, maka ada keperluan untuk mempercepatkan vaksinasi di Sarawak, dalam situasi Sarawak perlu jalankan PRN jika perintah darurat tamat seperti yang telah dijadualkan.

“Ingat lagi pilihan raya Sabah tahun lepas? Jika negeri tak sepenuhnya mendapat vaksinasi sebelum itu, Sarawak dan seluruh negara akan berdepan risiko satu lagi gelombang Covid-19.”

 

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles