- Iklan -
Berita

Pegawai Prasarana beri nombor telefon pribadi, mudahkan komunikasi dengan mangsa kemalangan LRT

Rafizah Amran turut menggesa orang ramai henti sebar berita palsu mengenai kemalangan tren LRT.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Komunikasi dan Pemasaran Prasarana Rafizah Amran. Gambar: LinkedIn
Timbalan Ketua Komunikasi dan Pemasaran Prasarana Rafizah Amran. Gambar: LinkedIn

Seorang pegawai syarikat Prasarana Malaysia Bhd mengambil keputusan memberikan nombor telefon peribadinya bagi membolehkan mangsa-mangsa kemalangan tren LRT baru-baru ini menghubunginya, satu langkah pengurusan krisis yang mendapat pujian ramai selepas tingkah laku pengerusi syarikat itu berhubung insiden tersebut dikecam.

Timbalan Ketua Komunikasi dan Pemasaran Prasarana Rafizah Amran berkata, pihak syarikat menyedari penderitaan penumpang yang terjejas akibat kemalangan yang berlaku pada malam Isnin lalu menyaksikan 213 orang tercedera dan 40 daripadanya parah.

“Ya, penumpang-penumpang yang terlibat (dalam kemalangan) memiliki hak untuk menggunakan undang-undang bagi mendapatkan ganti rugi tambahan dan lain-lain. Kami akan membantu dan kami juga bersikap terbuka.

“Kerana itulah kami memberikan nombor talian hotline khusus untuk mereka. Mengenai nombor telefon itu? Itu adalah nombor peribadi saya yang berikan untuk mereka boleh berkomunikasi dengan saya secara terus supaya kita boleh uruskan perkara sensitif ini dengan cara terhormat,” tulis beliau dalam akaun LinkedIn sekali gus mendapat pujian daripada orang ramai.

Kemalangan pada malam Isin lalu menyaksikan pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku dalam terowong antara stesen KLCC dan Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Langkah yang diambil Rafizah itu dilihat bertentangan dengan tingkah laku pengerusinya Tajuddin Abdul Rahman ketika mengadakan sidang media bagi mengumumkan langkah-langkah syarikat untuk membantu mangsa kemalangan.

Semalam, kementerian kewangan yang merupakan pemilik Prasarana memecat Tajuddin berkuatkuasa serta merta susulan kecaman dan kemarahan orang ramai kerana beliau dilihat memberikan ulasan yang tidak sensitif terhadap mangsa kemalangan.

Sementara itu, dalam sebuah hantarannya, Rafizah turut mengakui wujud perbahasan orang ramai di media sosial mengenai apakah langkah yang akan diambil selepas kemalangan tersebut dengan berkata semua orang mempunyai hak untuk bersuara.

“Kami juga menghormati pandangan yang mereka berikan. Saya sentiasa tekankan kami akan ambil tanggungjawab. Bekerja di sektor pengangkutan awam, ini adalah asam garam.”

Bagaimanapun, beliau menggesa orang ramai untuk menghentikan spekulasi dan menyebarkan berita palsu berkenaan situasi kemalangan tersebut.

Beliau berkata banyak gambar dan video palsu disebarkan yang antara lain mendakwa tidak ada penjarakan sosial dalam tren yang terlibat kemalangan itu.

Menurutnya, kebanyakan gambar dan video yang tersebar itu adalah gambar dari tahun 2020 selepas sektor ekonomi dibuka semula dan kapasiti 100% penumpang dibenarkan.

Rafizah berkata pasukan operasi syarikat akan mengambil gambar dan memantau situasi setiap hari ketika waktu kemuncak.

“Kadang-kadang ramai penumpang, kadang-kadang sedikit. Tren empat gerabak boleh muatkan 800 orang, jadi kapasiti 50% adalah 400 orang penumpang.”

“Kita ada pesakit yang cedera parah di hospital. Jika anda tidak ada hal yang baik-baik untuk diperkatakan mengenai RapidKL atau pasukan perhubungan awamnya, tidak mengapa. Namun jagalah hati pesakit dan penumpang yang terlibat dan ahli keluarga mereka.

“Itulah prioriti kami ketika ini.”