- Iklan -
Berita

Parlimen maya, pilihan raya bukan bidang kuasa saya, kata Noor Hisham

Ketua pengarah kesihatan berkata sebarang langkah untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat secara dalam talian adalah bidang kuasa peguam negara, bukan pihak berkuasa kesihatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Noor Hisham mempertahankan langkah pengisytiharan darurat, beliau berkata Malaysia boleh menyekat pelaksanaan beberapa PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sepatutnya dijalankan tahun ini bagi menyekat pergerakan dan perhimpunan yang boleh membawa penularan jangkitan. Gambar: Bernama
Dr Noor Hisham mempertahankan langkah pengisytiharan darurat, beliau berkata Malaysia boleh menyekat pelaksanaan beberapa PRK dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sepatutnya dijalankan tahun ini bagi menyekat pergerakan dan perhimpunan yang boleh membawa penularan jangkitan. Gambar: Bernama

Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau tidak akan memberi sebarang ulasan berhubung cadangan mengadakan sidang Dewan Rakyat secara maya selepas nama beliau dipetik Timbalan Speaker Azalina Othman Said yang mendakwa ketua pengarah kesihatan itu “tiada bantahan” untuk melaksanakannya.

Noor Hisham berkata perkara tersebut perlu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Kami di kementerian kesihatan bukan pakar berhubung hal undang-undang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Azalina hari ini mempersoalkan penangguhan sidang Parlimen susulan perintah darurat yang diisytiharkan Januari lalu.

Ahli Parlimen Pengerang itu mengutarakan beberapa syor untuk menjalankan persidangan dewan rakyat secara maya dengan mengatakan pandemik masih akan berterusan dalam tempoh yang lama.

Antara lain, beliau berkata sebuah ordinan boleh dilaksanakan bagi menghalang usul tidak percaya dibentang untuk mengelakkan daripada pilihan raya dijalankan.

“Selagi pandemik belum berjaya dikawal dan imuniti kelompok sebanyak 50% sekurang-kurangnya dapat dicapai, tidak seharusnya pilihan raya umum diadakan akan tetapi sebuah kerajaan interim darurat dengan Kabinet Darurat boleh ditubuhkan dengan keanggotaan daripada semua wakil parti politik,” kata ahli Parlimen Umno itu.

Azalina juga turut berkata belum ada lagi respons daripada AGC dan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan berkenaan perkara itu.

Dalam pada itu, Noor Hisham mengingatkan sebarang cadangan untuk melaksanakan sidang secara maya perlu dikaji oleh badan-badan yang relevan.

“Sama juga tentang cadangan ramai berhubung pilihan raya elektronik, namun apakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh laksanakan atau tidak.. kita perlu rujuk kepada AGC dan SPR,” katanya.

Beliau berkata, secara dasarnya, kementerian kesihatan mendukung sekatan pergerakan dan menentang perjumpaan bersemuka.

Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara ketika ini masih ditangguh dibawah perintah darurat selepas ia diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong pada Januari lalu.

Langkah tersebut diambil selepas beberapa ancaman daripada ahli politik Umno yang mahu menarik kembali sokongan kepada pentadbiran rapuh Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Sebarang usaha untuk menjatuhkan Muhyiddin bermaksud Parlimen akan dibubarkan dan pilihan raya akan dijalankan, sebuah senario yang ditentang Noor Hisham dan pegawai kanan kesihatan sejak tahun lalu.

Awal bulan ini, Noor Hisham mempertahankan langkah pengisytiharan darurat dengan mengatakan Malaysia boleh menyekat pelaksanaan beberapa pilihan raya kecil selain Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sepatutnya dijalankan tahun ini.

Noor Hisham turut berkata pilihan raya dan himpunan orang ramai ketika kempen boleh menyebabkan ledakan jangkitan seperti yang berlaku di India di mana lebih 300,000 terkorban akibat virus tersebut.