- Iklan -
Berita

KKM seru penglibatan sukarelawan bantu tangani Covid-19

Tenaga sukarelawan amat diperlukan untuk meringankan beban para petugas kesihatan KKM di seluruh negara ketika ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menyeru lebih ramai penglibatan sukarelawan kesihatan bagi membantu menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata tenaga sukarelawan tersebut amat diperlukan untuk meringankan beban para petugas kesihatan KKM di seluruh negara ketika ini.

Katanya jawatan yang diperlukan adalah pegawai dan penolong pegawai perubatan, pegawai pergigian, jururawat, pegawai dan penolong pegawai kesihatan persekitaran serta juruteknologi makmal perubatan.

Dr Noor Hisham berkata syarat menyertai khidmat sukarelawan itu adalah mereka yang berumur 18 hingga 60 tahun, sihat dan cergas secara fizikal dan mental, tidak hamil, serta telah mendapat kebenaran daripada majikan bagi yang bekerja.

“Syarat lain adalah pemohon bukan anggota KKM, sanggup bertugas di lokasi yang memerlukan, tiada sejarah kontak rapat dengan kes Covid-19 dalam masa 14 hari.

“Untuk makluman, KKM tidak menyediakan pengangkutan, penginapan, makanan atau elaun/gaji bagi sukarelawan. Segala kos sepanjang khidmat sukarelawan ditanggung sendiri,” katanya yang berkongsi maklumat Unit Mobilisasi, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan menerusi Facebook rasmi beliau.

Mereka yang berminat boleh melengkapkan borang menerusi pautan https://forms.gle/ktiuH2mjRePBCZLm9 dan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan menerusi e-mel di [email protected].