Saturday, June 19, 2021

Kes meningkat, Sarawak putuskan laksana PKP skala penuh

PKP akan bermula dari 29 Mei hingga 11 Jun depan.

Other News

Sarawak, satu-satunya negeri yang masih mengekalkan status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bersetuju untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) skala penuh bermula 29 Mei depan bagi membendung kenaikan jangkitan Covid-19.

PKP penuh tersebut akan kekal sehingga 11 Jun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embas berkata keputusan itu diambil susulan peningkatan kes yang dikaitkan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri sehingga menyebabkan tekanan hebat dihadapi sistem penjagaan kesihatan negeri.

“Saya rayu rakyat Sarawak beri kerjasama dengan pihak berkuasa dan fahami kemudahan penjagaan kesihatan kita berada di tahap kritikal,” katanya pada sidang media di Kuching.

Sarawak mencatat 772 kes hari ini, kedua tertinggi selepas Selangor menjadikan kes keseluruhan di negeri itu sebanyak 44,758.

Setakat ini, Sarawak merekodkan 97 kematian akibat Covid-19, merekodkan purata 625 kes setiap hari.

Menurut Uggah, 81 pesakit kini ditempatkan di ICU sementara 31 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Kapasiti katil ICU di Sarawak juga berada di tahap kritikal,” katanya.

Beliau berkata Sarawak telah merekodkan trend peningkatan dalam kes kematian akibat Covid-19 sejak Mac dengan 29 kematian direkodkan pada bulan tersebut, purata satu kematian setiap hari.

“Trend yang meningkat ini berterusan hingga April, dengan rekod keseluruhan 69 kematian, bersamaan purata dua kematian sehari.

Ketika ditanya berkenaan usaha untuk meningkatkan bilangan katil di wad ICU, Uggah berkata proses menaik taraf ICU sedang dijalankan.

“Untuk beberapa bulan lalu, kita sudah rayu kerajaan pusat bantu untuk tingkatkan kapasiti kemudahan penjagaan kesihatan kita bagi menangani krisis Covid-19,” katanya.

Dari 9 hingga 15 Mei, 3,272 kes direkodkan di Sarawak, dengan purata kes harian sebanyak 467.

Trend itu meningkat dengan 520 kes setiap hari direkodkan pada minggu berikutnya.

Sejumlah 3,118 kes dilaporkan sehingga hari ini dengan purata 623 kes.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles