- Iklan -
Berita

Polis siasat Tajuddin kerana tak pakai pelitup muka

Semua pihak yang terbabit dalam kes tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Tajuddin Abdul Rahman bercakap ketika sidang media selepas melawat lokasi dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan semalam berhampiran Stesen LRT KLCC semalam. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Tajuddin Abdul Rahman bercakap ketika sidang media selepas melawat lokasi dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan semalam berhampiran Stesen LRT KLCC semalam. Gambar: Bernama

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap kes Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tajuddin Abdul Rahman tidak memakai pelitup muka semasa sidang media di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata semua pihak yang terbabit dalam kes tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan diambil mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa, katanya.

Klip video yang menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka pada sidang media itu tular menerusi media sosial.