- Iklan -
Berita

Laman sesawang terganggu selepas ratusan ribu cuba tempah vaksinasi AstraZeneca

Permohonan untuk vaksinasi yang dibuka hari ini adalah pusingan kedua slot vaksinasi AstraZeneca kepada awam dengan kaedah 'siapa cepat, dia dapat'.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai perubatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin AstraZeneca pada hari pertama yang dibuka pada umum kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Pegawai perubatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin AstraZeneca pada hari pertama yang dibuka pada umum kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Laman sesawang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini terganggu selepas tempahan vaksinasi AstraZeneca dibuka kepada awam di beberapa buah negeri.

Janji temu yang ditawarkan bagi program sukarela vaksinasi AstraZeneca itu dibuka untuk warga Selangor, Sarawak, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilaporkan sudah penuh kurang dari dua jam selepas pendaftaran yang dimulakan pada tengahari tadi menyaksikan 1.2 juta orang berjaya mendapatkan tempahan janji temu.

Bagaimanapun, ramai daripada pemohon membawa isu kegagalan laman sesawang itu berfungsi ke media sosial bagi melepaskan ketidakpuasan hati dan kekecewaan akibat tidak dapat menempah slot vaksinasi walaupun setelah berulang kali mencuba.

Sebilangan daripada mereka turut mempersoalkan bajet RM70 juta untuk membina aplikasi MySejahtera dan lawan sesawang vaksin tersebut kerana gagal menguruskan permohonan jutaan pemohon yang mahu menempah slot vaksinasi.

Selepas sejam pendaftaran dibuka, hanya 300,000 orang sahaja yang berjaya mendapat slot vaksinasi di laman sesawang rasmi PICK selain platform sosial medianya menasihatkan orang ramai “cuba lagi sebentar nanti”.

“Lebih daripada 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua telah dibuat.

“Kami maklum masih ada yang tidak boleh berbuat demikian,” kata akaun Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Permohonan untuk vaksinasi yang dibuka hari ini adalah pusingan kedua slot vaksinasi AstraZeneca kepada awam dengan kaedah “siapa cepat, dia dapat”.

Vaksin itu diputuskan untuk diberi kepada orang ramai dengan pilihan sukarela selepas ribuan orang membatalkan janji temu vaksinasi melalui MySejahtera ekoran kebimbangan mengenai kesan sampingannya yang dilaporkan telah menyebabkan gumpalan darah di mana sebilangannya telah menyebabkan kematian.

Pusingan pertama yang bermula 5 Mei lalu mendapat respons baik daripada orang ramai selepas 268,000 slot vaksinasi ditempah dalam masa tiga jam ia dibuka untuk dimohon.