Saturday, October 23, 2021

Bagaimana pandemik jejas kemahiran sosial kanak-kanak, pisahkan dengan rakan  

Dalam suasana normal, kanak-kanak akan pergi ke sekolah dan bermain dengan rakan-rakannya, namun akibat SOP PKP Covid-19, mereka terpaksa duduk di rumah sahaja.

Other News

Beberapa pakar berkata isolasi dalam jangka masa yang lama ekoran larangan berkumpul beramai-ramai dan arahan duduk di rumah demi membendung kadar jangkitan wabak boleh memberikan kesan negatif terhadap kanak-kanak kerana pembangunan sosial mereka terbantut.

Hal demikian boleh berlaku walaupun ibu bapa melakukan sedaya upaya mereka untuk mengekalkan kualiti hidup dalam suasana norma baru.

Ibu kepada tiga anak, Azlin Nordin, melakukan semua perkara yang dia mampu untuk memastikan fizikal, mental dan emosi anak-anaknya tumbuh dengan baik.

Namun untuk menyeimbangkan ketiga-tiga elemen itu sangat sukar untuk dilakukan bagi ibu ini.

Anak perempuannya yang berusia lapan tahun yang disifatkan sebagai seorang anak “yang pemalu” menghadapi kesukaran pembelajaran di rumah selain tidak lagi dapat bertemu dengan kawan-kawan sekolahnya.

Sebagai seorang yang pemalu, dia kini lebih sukar untuk berbual dengan rakan sekelasnya.

“Tak macam abangnya, kemahiran sosialnya terjejas bila dia masuk sekolah awal tahun ini,” kata Azlin kepada MalaysiaNow.

“Dia tak lagi bersosial dengan rakan sekelas selepas lama duduk di rumah. Saya tahu anak perempuan saya merasa janggal.”

Seorang pengamal pendidikan awal kanak-kanak, Putri Afzan Maria Zulkifli berkata dalam suasana normal, kanak-kanak akan pergi sekolah dan amalkan kemahiran sosial dan kognitif mereka dengan guru-guru dan kawan-kawan.

Namun SOP PKP atau langkah sekatan yang dilaksanakan ketika ini bermaksud mereka terpaksa duduk di rumah dengan pembelajaran diikuti secara dalam talian.

“Bila mereka duduk depan televisyen dan komputer untuk beberapa jam, ia hanya komunikasi satu hala,” katanya.

“Apa yang kanak-kanak perlu pada usia ini adalah orang lain yang boleh mereka berbual, dengan itu interaksi boleh berlaku.”

Beliau turut berkata masalah tersebut juga adalah berpunca kurangnya kepastian dalam mendepani kehidupan seharian akibat pandemik global ketika ini yang boleh menyebabkan kerisauan melampau dan kebingungan dalam mental kanak-kanak.

Jadual pembelajaran di sekolah yang kucar-kacir sejak tahun lepas menyebabkan rutin terganggu sementara pembelajaran fizikal yang ditukar secara dalam talian boleh mengganggu kemajuan mereka, katanya.

“Ini adalah tahap yang sangat kritikal bagi kanak-kanak untuk meneroka diri mereka sendiri. Namun realitinya, keadaan ketika ini yang kadang-kadang boleh pergi sekolah dan bermain dengan rakan-rakan dan sekejap lagi tak boleh pula dan terpaksa duduk di rumah.

“Bila semua hak mereka itu diambil akibat keputusan tiba-tiba, ia boleh menyebabkan proses tumbesaran alami itu terganggu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau menggesa ibu bapa untuk sentiasa memantau apa-apa perubahan dalam tingkah laku anak-anak mereka.

“Seorang anak yang aktif namun terpaksa duduk di rumah akan menjejaskan psikologi mereka. Ibu bapa perlu cari keseimbangan supaya ia tidak mengganggu pembesaran mereka baik secara fizikal, mental dan emosi.”

Dalam beberapa kes, katanya, kebingungan yang dihadapi anak-anak boleh menyebabkan kesihatan mental mereka terganggu.

“Jika mereka adalah seorang yang periang namun tiba-tiba bersikap pendiam dan berahsia, ia adalah hal yang membimbangkan. Ibu bapa mesti pantau hal ini.

“Walaupun di usia muda, kanak-kanak perlukan terapi untuk kesihatan mental mereka. Otak mereka juga boleh menghadapi masalah sekiranya tidak dipantau.”

Bagi Azlin, masalah kemahiran sosial anak perempuannya dapat dikenalpasti dan jelas.

Terkurung di rumah menyebabkan anak perempuannya kehilangan rakan sebaya kerana peluang untuk berinteraksi dengan kawan-kawan sewaktu kelas dalam talian sangat sedikit.

“Sebelum Covid-19, anak saya tak ramai kawan, disebabkan pandemik, dia hanya ada satu atau dua orang kawan saja yang tinggal.

“Walaupun pemalu, dia rindu nak jumpa kawan-kawannya di sekolah,” kata Azlin.

“Kalau tak ada pandemik, saya fikir dia mungkin boleh tingkatkan tahap kemahiran sosialnya dengan lebih baik di sekolah.” 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles