Wednesday, October 20, 2021

Rentas negeri 30 individu zon merah punca 90 kes baru Covid-19 di Terengganu

Pelanggaran SOP bagi pencegahan Covid-19 itu terbongkar apabila ramai dalam kalangan ahli keluarga dijangkiti di samping peningkatan mendadak kes dalam lokaliti di tiga daerah.

Other News

Kes rentas negeri melibatkan 30 individu dari zon merah Covid-19 yang pulang ke Terengganu dengan pelbagai alasan untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan jangkitan kepada 90 kes baru di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata kisah pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 itu terbongkar apabila ramai dalam kalangan ahli keluarga dijangkiti di samping peningkatan mendadak kes dalam lokaliti di tiga daerah di negeri ini.

“Di Kuala Terengganu, seramai 40 orang disahkan positif Covid-19 hasil aktiviti rentas negeri yang dilakukan 13 individu manakala di Hulu Terengganu, rentas negeri yang dilakukan sembilan individu mengakibatkan 26 orang lagi terkena jangkitan.

“Di Kemaman, lapan individu yang merentas negeri dan daerah akhirnya menyebabkan 24 orang disahkan positif Covid-19. Kalau betul mereka mematuhi SOP, sudah tentu jangkitannya kecil sahaja tanpa melibatkan datuk, nenek, makcik, pakcik, cucu hingga sepupu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Beliau bagaimanapun memuji langkah yang diambil oleh sesetengah individu dari zon merah yang membuat penilaian risiko dan kuarantin diri sendiri kerana tindakan bijak itu berjaya menghalang penyebaran Covid-19 dalam skala yang besar.

Nor Azimi juga mendedahkan kedegilan masyarakat yang tidak mengendahkan larangan mengadakan majlis berbuka puasa, majlis tadarus dan gotong-royong pada Ramadan lepas menyebabkan berlaku jangkitan dalam kalangan jemaah masjid dalam jumlah yang besar.

Dalam pada itu, Nor Azimi turut mengesahkan arahan penutupan sementara Jakel cawangan Gong Badak di Kuala Nerus selama 14 hari kerana terdapat 17 kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangannya.

“Penutupan sementara Jakel Trading Sdn Bhd cawangan itu berkuat kuasa Ahad lepas hingga 6 Jun depan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit.

“Arahan penutupan adalah mengikut Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles