- Iklan -
Berita

Lebih 95,000 suntikan rekod angka baru vaksinasi harian

Sebelum ini 83,648 dos suntikan direkodkan telah diberi kepada penerima pada 19 Mei lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Malaysia menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai seawal Februari 2022.
Malaysia menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai seawal Februari 2022.

Sebanyak 95,009 orang menerima dos suntikan Covid-19 semalam merekodkan suntikan terbanyak diberikan setakat ini dalam tempoh sehari.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 69,112 mendapat suntikan pertama vaksin sementara 25,887  lagi menerima suntikan kedua.

Angka-angka tersebut adalah sebahagian daripada pelancaran vaksinasi AstraZeneca di Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam semalam.

Sebelum ini, rekod terbanyak suntikan vaksin dalam tempoh sehari adalah sebanyak 83,648 pada 19 Mei.

Pihak berkuasa berkata angka suntikan dos vaksin dijangka akan terus meningkat ketika negara menerima ketibaan lebih banyak bekalan vaksin daripada pembekal.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kadar vaksinasi yang perlahan dalam negara adalah disebabkan kekurangan bekalan vaksin dalam negara.

Bagaimanapun, katanya, kadar pemberian itu akan stabil pada Jun depan di mana vaksinasi besar-besaran akan diadakan secara “full swing”.

“Saya menguruskan jangkaan (rakyat) di sini. Mereka bertanya bila mereka boleh mendapatkan vaksin. Vaksin ini bukan berada dalam peti sejuk beku di Kuala Lumpur, ia belum tiba dan tiba secara berperingkat,” katanya sambil menambah akan berusaha untuk menyegerakan perolehan vaksin secepat mungkin.

Kerajaan menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai melalui inokulasi 80% populasi dalam negara pada Februari tahun depan.