Wednesday, June 23, 2021

‘Bukan lagi era permainan komputer’: Pandemik jejaskan kafe siber

Kafe siber mungkin akan menjadi sejarah masa lalu selepas pandemik menyaksikan semakin banyak ia ditutup.

Other News

Sejak di bangku sekolah, Naufal Osman dan rakan-rakannya sudah biasa pergi ke kafe siber.

Hampir setiap hari mereka ke sana.

Di tempat itulah, mereka akan menghabiskan wang untuk bermain permainan komputer, malahan tak kurang juga sesi persekolahan yang diponteng untuk tujuan itu.

Usianya pada ketika itu adalah 13 tahun.

Kini, pada usia 28 tahun, sudah setahun dia tidak menjejakkan kaki di kafe siber.

Kenangan indah bermain dengan rakan-rakannya di tempat itu masih terngiang-ngiang dalam fikirannya.

Malangnya, kafe siber mungkin benar-benar akan tinggal kenangan sahaja ketika semakin banyak premisnya menutup operasi, terutama selepas pelbagai sekatan dijalankan apabila wabak Covid-19 melanda negara.

Bahkan perniagaan kafe siber yang bertahan sejak pelaksanaan dua perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini tidak dapat memastikan perniagaan akan akan berjaya melalui PKP 3.0 kali ini.

Pengasas Orange Esports Cafe Frank Ng, berkata kafe siber miliknya terpaksa menyewakan komputer mereka kepada orang ramai agar dapat bertahan untuk berdepan PKP.

“Kami tutup premis selama dua bulan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Awalnya, kami tutup tiga cawangan. Setelah PKP 1.0 berakhir, kami buka semula pada bulan Jun. Namun tidak ramai pelanggan datang dan perniagaan menjadi semakin perlahan.”

Dengan ketiadaan pendapatan daripada operasi perniagaannya, Orange terpaksa ditutup sekali lagi selama dua bulan.

“Kami memberhentikan 50 pekerja sekitar September. Keadaan menjadi lebih buruk ketika tahun berakhir – kami menutup 12 cawangan dan memberhentikan 80 orang pekerja.”

Semasa PKP 2.0 dilaksanakan Januari tahun ini, syarikatnya menjual 200 komputer dan menggunakan wang itu untuk menampung operasi.

Namun kini, selepas empat bulan dan PKP sekali lagi dilaksanakan, Orange terus bergelut dan menghadapi kesukaran untuk terus bernafas.

Bahkan sebelum Covid-19, Ng berkata kafe siber mengalami penurunan dalam perniagaan.

Namun, PKP menjadi punca terbesar perniagaan mereka jatuh merudum dan mungkin akan terus berkubur.

“Bagi mematuhi SOP penjarakan fizikal, kami hanya boleh beroperasi dengan kapasiti 50% sahaja, maknanya komputer kami kurang digunakan,” katanya.

“Waktu operasi yang terhad juga bermaksud pelanggan semakin sedikit.”

Dengan SOP PKP 3.0 yang diperketatkan, Ng berkata perniagaan kafe siber mungkin tidak lagi dapat menanggung kos operasi.

“Saya berbincang dengan pengendali dan pembekal komputer lain,” katanya.

“Berdasarkan apa yang mereka kata, saya boleh katakan hampir 50% kafe siber ditutup di seluruh negara sejak PKP dilaksanakan.”

Hal ini menjadi berita yang menyedihkan bagi peminat permainan komputer seperti Naufal, yang kini merupakan pemain Dota profesional dan juga merupakan ahli pasukan e-games tempatan selain turut mengecewakan ribuan pelajar di seluruh negara yang pernah beramai-ramai ke kafe siber untuk lepak petang selepas habis sesi persekolahan.

“Pada masa itu, kami bermain permainan seperti Dota untuk seronok-seronok,” kata Naufal kepada MalaysiaNow.

“Kami tidak fikir strategi atau objektif waktu itu.”

Dia juga masih ingat, ketika mula beralih untuk bermain secara lebih kompetitif dan profesional, bahkan sehingga duduk di kafe selama dua hari berturut-turut untuk berlatih bersama rakan sepasukan dan hanya pulang ke rumah untuk mandi.

Hari-hari seperti itu mungkin sudah berakhir bagi mereka yang berada dalam komuniti e-games.

Bagaimanapun, bukan hanya permainan komputer sahaja yang akan mendapat kesan jika kafe ini ditutup.

“Ada juga pelajar yang datang ke kafe siber untuk sesi pembelajaran dalam talian dan menyelesaikan tugas yang perlu mereka lakukan dalam talian seperti permohonan kemasukan universiti,” kata Ng.

Tommy Tan, yang mengendalikan syarikat untuk membantu usahawan menubuhkan kafe siber, berkata dia belum lagi dapat menubuhkan kafe siber baru sejak November 2019.

“Sebelum PKP, kami dapat mendirikan lima hingga tujuh kafe siber setiap tahun. Kami juga membantu menjaga hampir 30 premis.

“Tetapi sejak Mac tahun lalu, pelanggan kami perlahan-lahan berkurangan,” kata Tan, yang menjalankan perniagaan ini sejak sedekad lalu kepada MalaysiaNow.

Dia berkata disebabkan kekangan kewangan seperti sewa, gaji kakitangan dan bil utiliti, hampir 15 kafe siber yang dikendalikan syarikatnya ditutup sejak Mac lalu.

Naufal percaya peningkatan permainan mudah alih juga turut menyumbang kepada penurunan populariti kafe siber.

“Budak-budak sekarang lebih suka permainan di telefon pintar mereka,” katanya.

“Ini bukan lagi era permainan komputer, jadi tidak mustahil suatu hari nanti kebanyakan kafe siber akan ditutup untuk selamanya dan hanya ada hab e-sukan yang terus wujud.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles