- Iklan -
Berita

Putrajaya beri amaran tindakan tegas terhadap individu langgar SOP PKP

Bermula esok, SOP tambahan bagi memperketatkan PKP sedia ada akan dikuatkuasa di seluruh negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota Polis  bersama anggota tentera mengadakan sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan pengguna trafik dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Anggota Polis bersama anggota tentera mengadakan sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan pengguna trafik dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kementerian dalam negeri (KDN) hari ini memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diwartakan kerajaan.

Dalam sebuah kenyataan KDN berkata pihaknya memantau rapat perkembangan penularan pandemik Covid-19 dalam negara dan mengambil maklum keputusan untuk memperketatkan PKP bagi membendung penularan jangkitan.

“Kementerian telah mengarahkan semua Jabatan dan Agensi penguatkuasaan di bawah KDN seperti PDRM, JIM, penjara, Rela, Esscom, AADK dan Aksem untuk meningkatkan bilangan operasi pemantauan

“(KDN juga) memberi amaran dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati telah melanggar SOP,” kata KDN di samping turut berkata bilangan operasi sekatan jalan akan turut ditambah di seluruh negara.

Dalam pada itu, pemantauan tambahan juga akan dijalankan di seluruh negara termasuk di premis perniagaan dan industri, bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing.

Jumaat lalu, kerajaan melalui Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP tambahan bagi memperketatkan PKP yang diumumkan awal Mei.

SOP terbaru itu termasuk mengurangkan tempoh operasi perniagaan dan mengarahkan sektor kerajaan dan swasta mengehadkan pekerja di pejabat bermula Selasa depan.

Ismail turut berkata 80% kakitangan kerajaan akan diarahkan untuk bekerja dari rumah melibatkan seramai hampir 750,000. Sementara itu pekerja sektor swasta akan dikurangkan sebanyak 40% pekerja melibatkan 6.1 juta pekerja.

“Kementerian menyeru semua pihak agar terus mematuhi SOP yang telah diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah-langkah yang diambil.