- Iklan -
Berita

PBB gesa usaha proses politik yang telus di Israel-Gaza, elak pertumpahan darah

Keazaman politik yang jujur dalam kalangan pemimpin Israel dan Palestin perlu ditunjukkan demi mengelakkan korban nyawa antara kedua-dua pihak.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Proses dan keazaman politik yang benar-benar jujur dan telus boleh menyelesaikan konflik di Palestin. Gambar: AP
Proses dan keazaman politik yang benar-benar jujur dan telus boleh menyelesaikan konflik di Palestin. Gambar: AP

Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa ‘proses politik yang benar-benar telus’ bagi mengelakkan pertumpahan darah berlarutan susulan pertempuran antara Hamas dan Israel yang memusnahkan sebahagian wilayah Gaza baru-baru ini.

Pegawai kanan PBB berkunjung ke Gaza selepas gencatan senjata diisytiharkan Jumaat lalu dalam keadaan ribuan rakyat warganya berusaha untuk memulakan semula kehidupan seperti biasa.

Semalam, sukarelawan sudah memulakan kerja-kerja pembersihan di sekitar runtuhan bangunan di bandar Gaza. Sementara usaha-usaha mengumpulkan sisa runtuhan turut dilakukan.

Ketua Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, berkata pembinaan semula perlu berjalan seiring dengan usaha untuk mewujudkan ‘persekitaran politik yang berbeza’.

“Kita perlu ada tumpuan untuk pembangunan rakyat, mendapatkan akses kepada pendidikan, pekerjaan dan mata pencarian dengan azam politik yang benar-benar tulus.

“Tetapi ia mesti disertai proses politik yang tulen dan telus,” katanya.

Terdahulu ketika diwawancara wartawan, beliau berkata, penderitaan rakyat Gaza semakin berganda kerana punca berlakunya konflik tidak diberikan perhatian.

Serangan udara ke atas Gaza bermula pada 10 Mei lalu mengakibatkan lebih dari 200 warga Gaza terkorban, sementara ratusan yang lain kehilangan tempat tinggal.

Ia adalah siri serangan terbaharu yang melanda wilayah yang diduduki lebih dua juta penduduk menyaksikan tiga peperangan tercetus dengan Israel sejak 2008.