- Iklan -
Berita

Apabila penghormatan akhir kepada si mati disingkatkan akibat Covid-19

Setiap aspek sistem pengebumian terganggu, mulai dari penggunaan rumah pengebumian dan bilik mayat hingga penggunaan alat solek di badan mayat.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Nirvana Memorial Park di Kuching, Sarawak. Pemakaman mayat ketika pandemik terpaksa dijalankan secara singkat, dan prosesnya perlu mematuhi SOP Covid-19.
Nirvana Memorial Park di Kuching, Sarawak. Pemakaman mayat ketika pandemik terpaksa dijalankan secara singkat, dan prosesnya perlu mematuhi SOP Covid-19.

Bagi kebanyakan orang, kematian akibat dijangkiti Covid-19 mungkin merupakan hal yang terburuk terhadap mereka yang dijangkiti virus yang setakat ini meragut lebih daripada 2,200 nyawa di negara ini.

Namun bagi ahli keluarga dan orang tersayang yang masih hidup, derita kesedihan itu tetap terus ditanggung.

Siaw Chow Jin, seorang pengurus perkhidmatan pengurusan mayat dan pemakaman di Kuching, Sarawak berkata banyak perkara berubah sejak tercetusnya pandemik Covid-19 awal tahun lalu.

Harinya dimulakan dengan menjawab beberapa panggilan telefon, baik daripada hospital atau terus daripada keluarga yang sedang berkabung atas kehilangan salah seorang ahlinya.

Panggilan itu akan dijawab di pejabatnya di Kuil Peringatan Nirvana, sebidang tanah yang luas dan sunyi di mana Siaw menghabiskan sebahagian besar waktunya.

Di kuil itu, dia akan mengawasi setiap proses pengurusan mayat, pemakaman dan upacara penghormatan bagi penganut Buddha.

“Setelah mereka sahkan akan gunakan perkhidmatan kami, perancangan untuk pemakaman akan dijalankan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kemudian, Siaw akan mengarahkan pegawainya untuk mengambil mayat dan membawanya ke rumah urus mayat di mana ia akan disimpan di dalam keranda sehingga tujuh hari.

Tempoh itu juga bergantung kepada keinginan keluarga, selepas proses pembersihan mayat dan dipakaikan persalinan tradisional atau pakaian lain yang diminta keluarga si mati.

Bagaimanapun, semua proses itu adalah rutin biasa sebelum wabak melanda negara.

Kini, pandemik menyebabkan kesemua rutin itu terjejas, mulai daripada penggunaan rumah pengurusan mayat, bilik mayat sehingga pekerjaan khusus pekerja pengurusan.

Perkara awal yang terpaksa dipatuhi pasukan Siaw ketika ini adalah mesti mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan Covid-19.

“Kami menerima lebih banyak panggilan kecemasan dari hospital,” katanya.

“Ia bermakna lebih banyak kerja sanitasi kawasan dan disinfeksi kuman perlu dilakukan di rumah pengurusan mayat.”

Walaupun perkhidmatan disediakan untuk pemakaman dan pembakaran mayat, mereka bagaimanapun menasihati ahli keluarga untuk membakar mayat.

“Kami perlu menjimatkan ruang dan mempertimbangkan keselamatan kakitangan kami,” katanya sambil menambah semua perkara berkenaan pengurusan mayat mesti dilakukan dalam masa 24 jam.

“Bagi kami, pembakaran mayat adalah pilihan terbaik buat masa ini kerana kami perlu menjimatkan ruang. Kami juga harus mengehadkan waktu untuk upacara pengebumian.”

Ketika pandemik, SOP tidak membenarkan pengurus mayat menyolek si mati.

Sebelum pandemik, upacara penghormatan boleh mengambil masa selama beberapa jam atau bahkan berhari-hari bergantung kepada agama si mati.

Namun dalam suasana pandemik, ahli keluarga hanya diberi masa selama 10 minit sahaja.

“Hanya ahli keluarga terdekat yang dibenarkan hadir,” tambah Siaw.

Jumlah kini dibataskan kepada 20 orang bagi mengelakkan orang ramai menunggu lama di premis selepas pengebumian selesai.

Pasukan ini juga menghadapi kekurangan bekas pembakaran dan peralatan pelindung diri yang mesti mereka pakai sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Pandemik juga mengubah beban kerja dan ruang lingkup tugas mereka.

Mereka kini terpaksa bekerja lebih lapan jam sehari, terutama ketika bilik pembakaran mayat dipenuhi abu.

Bahkan dalam beberapa kes, pekerjaan mereka tidak lagi terhad kepada ruang lingkup kerja sebelum ini.

Biasanya, Kaka Tay Siaw bertugas melakukan solekan untuk si mati.

Namun, ketika ini lelaki itu mesti membantu kerja pembakaran mayat.

Dia dan rakan-rakannya yang lain diminta untuk membantu melakukan pemeriksaan suhu di pintu masuk ketika pengunjung dan ahli keluarga tiba.

“Mereka yang mati akibat Covid-19, ahli keluarga mereka tidak dibenarkan membawa jenazah pulang,” kata Kaka, yang bekerja di pusat Nirvana selama enam tahun kepada MalaysiaNow.

“Walaupun orang itu meninggal dunia, bakteria (dalam mayat) mungkin masih aktif. Semua kerja persiapan dikendalikan pihak hospital.”

Baginya, cabaran paling besar adalah m tidak dibenarkan menyolek mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Kami tidak diizinkan melakukan solekan kerana bakteria mungkin boleh terjangkit ke tangan atau pakaian kami, dan ketika kami pulang, ia mungkin menjangkiti orang lain,” katanya.

Sebagai seseorang yang menghabiskan masa bertahun-tahun memberikan penghormatan terakhir untuk si mati, dia berkata melihat mangsa Covid-19 tanpa solekan atau tidak mengenakan pakaian tradisional adalah satu perkara yang menyedihkan.

Siaw berkata kehadiran yang dibataskan ketika pemakaman selain upacara pendek mungkin menyukarkan sebilangan anggota keluarga untuk menerima kehilangan.

Dia terkenang sebuah kes di mana seorang lelaki Indonesia yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan meninggal dunia kerana Covid-19.

“Keluarga itu ingin mengadakan upacara pengebumian tradisional. Kami memerlukan masa untuk berkomunikasi dengan mereka dan terpaksa jalani proses pembakaran mayat.

“Kami memahami kesukaran mereka,” tambahnya.

“Sukar bagi mereka untuk menerima kenyataan tersebut kerana tidak dapat meluangkan lebih banyak masa untuk upacara penghormatan terakhir dan meratapi si mati seperti biasa.”