- Iklan -
Berita

Restoran hotel lima bintang di Kuching beralih ke jalanan selepas terjejas dengan SOP Covid-19

Hotel Pullman Kuching menyajikan makanan tradisional penjaja dengan harga RM8 setiap pinggan.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Hotel Pullman di Kuching, Sarawak membuka dapurnya di luar premis.
Hotel Pullman di Kuching, Sarawak membuka dapurnya di luar premis.

Sebuah hotel lima bintang di Kuching, Sarawak mengenepikan soal tarafnya dengan menawarkan sajian makanan ala penjaja dari warung di pinggir jalan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk terus beroperasi selepas langkah pencegahan Covid-19 menjejaskan industri pelancongan.

Pullman Kuching, yang terletak di tengah-tengah bandar ibu negeri Sarawak itu terkenal dengan dapurnya.

Ketika ini, ia tidak lagi menyediakan hidangan untuk pengunjung hotel, namun mula menjamu orang ramai yang beratur di luar hotel, menunggu giliran membawa pulang hidangan terkenal dapur Pullman.

Selain itu, harga makanannya turut dijual dengan harga yang kurang daripada harga asalnya ketika ia beroperasi di dalam hotel: kebanyakan hidangan disenaraikan dalam menu hanya berharga RM8.

Pengarah bahagian makanan dan minuman hotel itu, Fabian Francis Mathews berkata mereka berharap boleh menambah pendapatan restoran hotel itu selepas ditutup ekoran larangan makan di premis yang berkuat kuasa sejak 12 Mei lalu.

“Ini adalah masalah utama kerana kami memiliki sekitar lima restoran yang kini ditutup,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, kami cuba tarik pelanggan untuk mendapatkan makanan kami.”

Chef memasak burger istimewa untuk pelanggan restoran Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.

Namun, jika dilihat dari barisan pelanggan, yang beratur seawal 10.30 pagi, nampaknya bilangan pelanggan bukanlah masalah utama.

Hidangan nasi ayamnya sangat digemari pelanggan, walaupun makanan kegemaran lain seperti kuey teow goreng, nasi goreng dan mee goreng mamak turut disediakan. Selain pencuci mulut ais batu campur dengan harga RM5.

Sarawak, yang seperti kebanyakan negeri lain mengalami lonjakan kes Covid-19.

Namun negeri itu merupakan satu-satunya yang masih kekal berada dalam status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Walaupun dalam diletakkan di bawah PKPB, larangan dan sekatan ketat masih dilaksanakan terutama larangan perjalanan rentas negeri dan daerah.

Oleh kerana situasi hotel ketika ini mesti bergantung kepada permintaan domestik, Fabian berkata mereka berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan kakitangan.

“Industri perhotelan dan restoran menghadapi masalah kewangan, dan ramai pekarja diberhentikan atau gaji mereka dikurangkan.

“Tetapi kami jaga semua pekerja walaupun terkesan dengan wabak. Kami percaya kami ada tanggungjawab untuk terus pastikan kesejahteraan kakitangan kami.”

SOP Covid-19 tetap dipatuhi dan kakitangan hotel memastikan pelanggan sentiasa peka dengan langkah tersebut.

Ini merupakan langkah yang dihargai ramai kakitangan mereka. Ivanna, yang bekerja di Pullman Kuching selama dua tahun berkata dia bersyukur kerana tidak diberhentikan.

“Pada masa-masa yang sukar ini, ramai orang berusaha keras untuk memperolehi pendapatan bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

“Banyak perkara lain yang perlu kita selesaikan setiap bulan, seperti kos perjalanan dan pinjaman bank.”

Seorang kakitangan lain, Joseph yang menjadi chef bulan lalu berkata beliau terkejut tetapi merasa bersyukur.

Dengan sekatan yang terus dilanjutkan, Fabian berkata pasukannya akan terus melayani permintaan pelanggan melalui pesanan bungkus dan penghantaran.

Kakitangan hotel menunggu kedatangan pelanggan di ruang ABC, hidangan pencucui mulut yang disediakan restoran.

“Memandangkan sejak tahun lepas kami menukar khidmat perniagaan dengan kaedah bungkus dan penghantaran sejak PKP tahun lalu, kami sekarang akan meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang kebanyakannya bekerja dari rumah,” katanya.

Fabian turut memberikan nasihat kepada mereka yang berada dalam industri makanan dan minuman.

“Sebelum kita pilih untuk berhentikan pekerja, kita harus dapatkan idea alternatif. Kita harus panggil kakitangan dan cari cadangan idea,” katanya.

Tidak ada yang dapat menjangka bagaimana keadaan yang bakal ditempuh sepanjang tempoh PKPB ini, namun Fabian dan pasukannya akan terus berada di gerai mereka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, menawarkan khidmat mereka dari hotel ke jalanan.

“Sambutan sangat menggalakkan, dan saya syorkan restoran lain ikut cara ini,” katanya sambil menambah mereka perlu mendapatkan keizinan dari majlis bandaran.

“Walaupun warung kami berada di premis hotel, kami juga mendapat kebenaran beroperasi seperti ini dari pihak majlis.”

Fabian juga berkata pihaknya akan terus memastikan pelanggan sentiasa mematuhi SOP.

“Terutama penjarakan fizikal dan mengambil suhu ketika mereka tiba di tempat masuk,” katanya.