- Iklan -
Berita

SOP PKP diperketat, kerja dari rumah dipertingkat, tempoh operasi perniagaan dipendek

Kerajaan laksanakan dua strategi bagi mengurangkan jumlah pekerja di pejabat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sekatan jalan raya di kawasan sempadan negara bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang melarang rentas negeri dan daerah.
Sekatan jalan raya di kawasan sempadan negara bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang melarang rentas negeri dan daerah.

Menteri Kanan (Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan tambahan bagi perintah kawalan pergerakan (PKP) termasuk mengurangkan tempoh operasi perniagaan dan mengarahkan sektor kerajaan dan swasta mengehadkan pekerja di pejabat bermula Selasa depan.

Dalam sidang media beliau bersama Dr Noor Hisham, Ismail berkata 80% kakitangan kerajaan akan diarahkan untuk bekerja dari rumah melibatkan seramai hampir 750,000. Sementara itu pekerja sektor swasta akan dikurangkan sebanyak 40% pekerja melibatkan 6.1 juta pekerja.

“Sektor swasta juga akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60%.”

Dalam pada itu, Ismail turut berkata kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan sekatan jalan raya selain mengehadkan tempoh masa operasi sektor ekonomi.

“Operasi premis perniagaan dari 8 pagi hingga 8 malam juga akan dilaksanakan,” kata Ismail sambil menambah hanya farmasi sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan operasi hingga 10 malam.

Dalam pada itu, Ismail menjelaskan butiran jabatan kerajaan yang akan mengurangkan kehadiran pekerjanya akan diumumkan ketua setiausaha negara, sementara butiran bagi sektor swasta akan diumumkan Miti.

Menurut Ismail, kerajaan juga akan mengehadkan kapasiti pengangkutan awam dengan hanya sebanyak 50% kapasitii penumpang dibenarkan selain kekerapannya akan dikurangkan.

Menurut Ismail kesemua SOP baru tersebut adalah penambahan kepada SOP PKP yang diumumkan pada 12 Mei lalu dan boleh diakses lanjut di laman sesawang kementerian dan MKN.

Dalam sidang media hari ini juga Ismail turut mengumumkan penubuhan pasukan khas yang terdiri daripada kementerian kesihatan, kementerian kewangan, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata pasukan khas itu adalah bagi meneliti perkara yang melibatkan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Kewujudan varian baru yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di dalam negara akan menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.

“Mengambil kira situasi terkini, pihak berkuasa akan meningkatkan penguatkuasaan serta akan menambah jumlah sekatan jalan raya (SJR). Oleh itu, rakyat diminta kekal duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar,” tambahnya.