- Iklan -
Berita

Keluarga B40 di pedalaman terabai ketika negara beralih digital sewaktu pandemik

Warga kurang mampu dan miskin juga terpaksa melaksanakan banyak perkara secara dalam talian ketika pandemik Covid-19, maka usaha menurunkan harga komputer dan akses internet yang baik perlu disegerakan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Malaysia di pedalaman daripada golongan B40 turut memerlukan capaian internet yang bagus dan peralatan digital demi pendidikan. Gambar: Bernama
Penduduk Malaysia di pedalaman daripada golongan B40 turut memerlukan capaian internet yang bagus dan peralatan digital demi pendidikan. Gambar: Bernama

Berbanding setahun lalu, teknlogi digital kini memainkan peranan penting dalam suasana “norma baru” kerana menjadi bahagian penting dalam kehidupan warga Malaysia sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketika ini hampir keseluruhan warga terpaksa menyelesaikan urusan seharian dari rumah, ia kemudian menjadi satu perkara biasa bagi ramai orang, bahkan barangkali menggemari situasi demikian.

Bagaimanapun, untuk melancarkan urusan-urusan ada beberapa perkara yang anda perlukan. Jika tidak ia akan menyukarkan anda.

Hakikatnya, satu segmen besar daripada populasi negara menghadapi kesukaran untuk untuk melaksanakan urusan mereka apabila banyak perkara yang sebelum ini dibuat di luar talian, namun atas tuntutan PKP, ia perlu diselesaikan dalam talian.

Untuk mendapatkan peralatan digital yang berpatutan dan pautan internet yang cukup nampaknya masih menjadi masalah bagi golongan B40 di kawasan pedalaman.

Beberapa pakar berkata, menyelesaikan isu seputar liputan internet dan menjadikan harga komputer lebih murah perlu menjadi perkara utama dalam usaha negara mencapai transformasi digital.

Kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini melakukan banyak urusan secara dalam talian termasuk membeli barangan, perbankan, membayar bil, belajar, dan pendaftaran di laman sesawang kerajaan.

Malangnya, golongan berpendapatan rendah dilihat masih terabai, dan dibiarkan bingung dengan peredaran laju masa kini.

Walaupun pengetahuan mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mudah diakses di bandar, namun sekiranya anda tinggal lebih jauh dari kawasan tumpuan populasi, akses ICT menjadi semakin sukar diperolehi.

Profesor ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng memberitahu MalaysiaNow terdapat jurang digital yang besar antara masyarakat bandar dan luar bandar di Malaysia.

Memetik penemuan Laporan Penyiasatan Penggunaan dan Capaian ICT oleh Jabatan Perangkaan Negara terhadap Individu dan Isi Rumah 2020, beliau berkata walaupun 83% isi rumah di luar bandar kini mempunyai akses internet, hanya 55% daripada mereka memiliki komputer.

Jika dibandingkan dengan isi rumah bandar, 93% daripada mereka mempunyai akses internet dan sekitar 80% memiliki komputer.

Yeah berkata peratusan purata kebangsaan ini menutupi beberapa anomali yang lebih besar.

“Perbezaan antara isi rumah bandar dan luar bandar lebih besar di negeri-negeri pantai timur semenanjung yang kurang maju, selain Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Tinjauan Jabatan Statistik 2019 mengenai pendapatan isi rumah menunjukkan bahawa pendapatan kasar isi rumah bulanan kumpulan B40 adalah RM3,152, namun jumlah terendah direkodkan di Kelantan dengan pendapatan bulanan hanya sebanyak RM2,194.

“Komputer riba sekarang ini, sama harga dengan pendapatan bulanan isi rumah B40.”

Bagaimanapun, jika harga peralatan berpatutan dan boleh digunakan namun tanpa capaian internet yang baik, ia tetap tidak memberikan manfaat sebenar kepada golongan itu.

“Selain tidak mampu mendapatkan peralatan digital, keluarga luar bandar juga menghadapi masalah infrastruktur, akses, dan kualiti digital yang teruk,” kata Profesor Madeline Berma dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Dan banyak juga daripada kalangan mereka tidak begitu celik teknologi.”

Beliau turut menegaskan ketika negara berdepan dengan pandemik yang mencabar, pembangunan infrastruktur digital, terutama sambungan gentian fiber, terlalu tertumpu di kawasan bandar berbanding kawasan pedalaman yang memiliki penduduk berpendapatan rendah dan tidak mampu.

Bagaimanapun, Yeah dan Berma berkata ada cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Yeah percaya subsidi kerajaan dan komersial yang bertujuan menjadikan peralatan digital lebih berpatutan boleh merapatkan jurang dalam akses digital warga Malaysia.

“Memberi insentif cukai dan mendorong promosi dan potongan jualan kepada kumpulan B40 akan menjadi salah satu cara untuk mengimbang jurang ketika ini,” katanya.

Berma bersetuju bahawa ketika ini kerajaan perlu melaksanakan dasar yang lebih berani, terutama berhubung perkhidmatan internet.

Beliau berkata syarikat perladangan yang besar dan syarikat yang aktif menjalan operasi di luar bandar harus diberi insentif untuk memberikan perkhidmatan jalur lebar percuma kepada masyarakat di kawasan operasi mereka.

“Pastinya wujud keperluan untuk persaingan yang sihat dalam menyediakan perkhidmatan internet yang pantas dan stabil selain peralatan digital yang berpatutan kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) telah disusun untuk meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar dalam negara, mengurangkan harga perkhidmatan dan menyediakan akses internet yang boleh dipercayai di semua spektrum masyarakat.

Jangka waktu pelaksanaan NFCP disasarkan selama 5 tahun, dari 2019 hingga 2023 yang dilihat sebagai sasaran dalam tempoh yang sangat singkat sebelum pandemik.

Namun keadaan sudah berubah, kata Yeah sambil menggesa NFCP harus disegerakan bagi menyelesaikan masalah liputan rangkaian di kawasan luar bandar.

Berma berkata jabatan kerajaan, sekolah, dan perpustakaan di daerah pedalaman juga harus diberikan subsidi untuk memperkenalkan skema untuk “pinjam dan teroka” cara penggunaan peranti kepada masyarakat miskin serta menjalankan kursus-kurusun bagi membiasakan mereka dengan penggunaan digital.