- Iklan -
Berita

Jumlah mangsa banjir di Sabah, Sarawak terus meningkat

Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat kepada 5,148 orang pagi ini dengan peningkatan mendadak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Air melimpah naik ke rumah-rumah di Long Lama, Marudi di Sarawak. Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak.
Air melimpah naik ke rumah-rumah di Long Lama, Marudi di Sarawak. Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak.

Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat kepada 5,148 orang pagi ini dengan peningkatan mendadak masih direkodkan di Negeri di Bawah Bayu.

Di Sabah, keadaan banjir semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,722 orang pagi ini berbanding 2,834 petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sabah dalam kenyataan pagi ini memaklumkan Tenom kekal daerah paling teruk terjejas dengan mangsa banjir 4,147 orang berbanding 2,363 petang semalam, manakala Beaufort juga meningkat kepada 575 pagi ini berbanding 471 petang, semalam.

Kenyataan itu memaklumkan semua mangsa banjir di Sabah ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan 35 PPS di Tenom dan tiga di Beaufort, dengan 17 daripadanya baru dibuka.

Dewan Sri Ontoros merupakan PPS menempatkan mangsa banjir terbanyak di Tenom iaitu 484 orang, diikuti Rumah Kebudayaan Belumbung Seberang (339) dan Rumah Kebudayaan Angalor (288), sementara di Beaufort, PPS Dewan DSP Mohd Dun Banir (238).

Di Sarawak, banjir yang melanda beberapa kawasan di Lawas dan Limbang ekoran hujan lebat sejak malam Rabu menyebabkan jumlah mangsa banjir di daerah Limbang dan Lawas terus meningkat kepada 426 orang daripada 98 keluarga pagi ini berbanding 373 orang daripada 89 keluarga petang semalam.

Menurut kenyataan Sekretariat JPBN Sarawak, jumlah PPS yang dibuka juga meningkat kepada tujuh berbanding lima PPS semalam dengan dua PPS baru dibuka iaitu Dewan Masyarakat Ukong dan Dewan Masyarakat Buloh Baloi di Limbang.