- Iklan -
Berita

Timbalan pengerusi tetap Umno meninggal dunia di PPUM

Beliau dimasukkan ke ICU Covid-19 pada 3 Mei lalu, isterinya kini masih dirawat di wad yang sama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Bahagian Umno Kepong Rizuan Abdul Hamid. Gambar: Bernama
Ketua Bahagian Umno Kepong Rizuan Abdul Hamid. Gambar: Bernama

Timbalan Pengerusi Tetap Umno Rizuan Ab Hamid disahkan meninggal dunia malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerusi catatan di Facebooknya mengesahkan pemergian Ketua Umno Bahagian Kepong itu.

“Bersama kita mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama para syuhada dan para solihin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Rizuan disahkan dijangkiti Covid-19 selepas menjalani saringan pada 1 Mei lepas dan dirawat di unit rawatan rapi PPUM sejak 3 Mei lepas manakala isterinya Madinah Mohamad iaitu bekas ketua audit negara dilapor turut dirawat di ICU pusat perubatan sama.

Sementara itu Naib Ketua Umno Bahagian Kepong Abdul Razak Abdul Rahman berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 10.53 malam tadi, dan jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah di Kepong.

Beliau menyifatkan Rizuan sebagai seorang ahli politik lama yang berpengalaman dan seorang ahli agama.

“Banyak jasanya untuk orang Kepong. Lebih 30 tahun beliau berkhidmat sebagai ketua bahagian dan merupakan antara ketua bahagian paling lama di Malaysia,” katanya.