- Iklan -
Berita

Rakyat Palestin raikan pengumuman gencatan senjata Israel, Hamas

11 hari pertempuran, kini rakyat Palestin boleh menjalankan kehidupan seperti biasa tanpa perlu berlindung dari roket Israel.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Rakyat Palestin meraikan pengumuman gencatan senjata Israel dan Hamas awal pagi tadi. Gambar: AP
Rakyat Palestin meraikan pengumuman gencatan senjata Israel dan Hamas awal pagi tadi. Gambar: AP

Gencatan senjata antara Israel dan gerakan Hamas diumumkan awal pagi tadi selepas 11 hari pertempuran yang menyaksikan ratusan korban.

Gencatan senjata itu diraikan penduduk Palestin yang membanjiri jalanan selepas 11 hari terpaksa melindungkan diri daripada serangan Israel.

Wartawan AFP di Tebing Barat berkata, buat kali pertama kereta mula menyusuri jalan raya sambil membunyikan hon dan orang ramai menjalani kehidupan biasa, malah beberapa das tembakan turut kedengaran bagi meraikan gencatan senjata itu.

Selepas pengumuman gencatan senjata itu, tiada lagi siren amaran dibunyikan di Israel bagi memberi amaran mengenai serangan roket Hamas, sekali gus menjadi petanda gencatan senjata itu dipatuhi kedua-dua belah pihak.

Gencatan senjata yang diusahakan Mesir itu turut membabitkan kumpulan bersenjata kedua paling berpengaruh di Gaza, Jihad Islami, yang turut bersetuju untuk tidak lagi melakukan serangan susulan tekanan antarabangsa bagi menghentikan keganasan bermula 10 Mei lalu.

Tokoh veteran Hamas, Khalil al-Hayya, menyifatkan pengumuman gencatan senjata itu sebagai satu kejayaan.

Pihak Israel, dalam satu kenyataan berkata kini terpulang kepada kepimpinan politik pada peringkat akar umbi untuk menentukan hala tuju seterusnya bagi konflik di antara kedua-dua pihak.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden turut mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata tersebut.

“Saya percaya kita ada peluang untuk bangunkan kedamaian dan saya komited untuk realisasikannya” kata Biden dalam sebuah ucapan di Rumah Putih.

Beliau turut memuji Mesir kerana menjadi pihak tengah dalam mencapai persetujuan bersama antara Hamas dan Israel.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, berkata beliau sedia ke Asia Barat pada bila-bila masa jika boleh membantu Israel dan penduduk Palestin mengakhiri keganasan serta meneruskan kehidupan seperti biasa.