- Iklan -
Berita

PKP penuh tidak cukup untuk kekang jangkitan Covid-19, kata pakar kesihatan

Walaupun pendekatan demikian mungkin berjaya tahun lalu, situasi kali ini tidak lagi sama

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Penambahan anggota barisan hadapan dalam usaha melawan Covid-19 perlu diusahakan bagi mengekang wabak.
Penambahan anggota barisan hadapan dalam usaha melawan Covid-19 perlu diusahakan bagi mengekang wabak.

Beberapa Pakar kesihatan mengingatkan pelaksanaan skala penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang pernah dilaksanakan ketika ia diperkenalkan Mac tahun lalu di seluruh negara mungkin hanya memberi kesan terhad dalam usaha mengurangkan jumlah jangkitan ketika Malaysia merekodkan lebih 6,000 kes baru dua hari berturut-turut di seluruh negara.

Seorang pakar epidemiologi dan kesihatan awam di Universiti Malaya Dr Sanjay Rampal berkata PKP tahun lalu berjaya membantu mengurangkan kes kerana waktu itu ia masih di peringkat fasa awal pandemik dengan jumlah jangkitan kurang dibanding dengan apa yang direkodkan ketika ini.

PKP 1.0 dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu.

Pada 18 Mac itu juga Malayia merekodkan 117 kes baru dengan purata seminggu sebanyak 92 kes.

Sebaik sahaja PKP dilonggarkan di seluruh negara pada 10 Jun, hanya dua kes baru direkodkan dengan purata 53 seminggu.

Semalam 6,806 kes direkodkan.

Ia adalah angka tertinggi pernah dicatatkan negara selepas sehari sebelumnya mencatat 6,075 kes dengan purata seminggu sebanyak 4,611.

Sanjay berkata negara mungkin menyaksikan peningkatan kes susulan pergerakan orang ramai sepanjang musim perayaan.

Bagaimanapun, beliau berkata sekatan pergerakan yang ketat tidak akan boleh menjadi solusi jangka masa panjang dalam usaha membendung wabak termasuk pengesanan kontak yang memberikan tumpuan kepada ujian besar-besaran dan menambah sumber kesihatan seperti unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata pendekatan demikian adalah mirip dengan persiapan jangka panjang ketika negara dijangka berdepan ledakan kes jangkitan.

“Nampaknya sukar kita nak capai imuniti kelompok dalam perang melawan Covid-19 dalam jangka masa beberapa tahun ke depan,” katanya.

“Virus ini sangat mudah menular dan kes global yang tinggi mungkin akan menyebabkan kemunculan strain baru.”

Beliau juga mengingatkan supaya orang ramai tidak bersikap menyalahkan orang lain walaupun mengakui masih ramai dilaporkan tidak mematuhi SOP.

“Antara sebab ledakan wabak yang besar sekarang ini adalah jumlah populasi yang tidak divaksinasi masih tinggi dan pengesanan kontak yang sangat tinggi selain sistem penyiasatan dan ujian ledakan wabak itu.”

Pada Rabu, kementerian kesihatan berkata tidak ada lagi zon hijau di Semenanjung Malaysia.

Sabah pula mencatat lapan zon hijau sementara lima di Sarawak.

Sesebuah kawasan dianggap sebagai zon hijau jika tidak ada kes Covid-19 yang direkodkan.

Zon kuning pula mempunyai rekod 1 hingga 20 kes, jingga 21-40 dan merah memiliki 41 kes atau lebih.

Dr Lokman Hakim Sulaiman dari Universiti Perubatan Antarabangsa bersetuju pelaksanaan PKP sahaja tidak mencukupi untuk menurunkan jumlah kes.

“Kerajaan nampaknya hanya fokus pada PKP dan harapkan masyarakat patuhi SOP ketat supaya jangkitan dapat dikendalikan sekali gus kes turun, namun tentunya ia tidak mencukupi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Melainkan jika mereka yang membawa virus segera dikenal pasti dan dikuarantin, perkara lain akan sukar dalam usaha memutuskan rantaian penularan.”

Lokman mencadangkan akses dimudahkan bagi ujian terhadap individu yang mengalami gejala melalui subsidi alat ujian RTK-Antigen yang menurutnya harus disediakan di kemudahan penjagaan kesihatan di kota-kota besar.

Beliau turut menggesa jumlah anggota barisan hadapan dipertingkatkan untuk kerja-kerja yang lebih efisien dalam penyiasatan dan pengesanan kes, penguatkuasaan kuarantin dan SOP, terutama di daerah zon merah.

Selain itu, katanya, kerajaan juga harus mengubahsuai program vaksinasi kebangsaan dan memberi tumpuan kepada yang berada di titik tumpuan Covid-19.

“Sekiranya kebanyakan kes Covid berasal dari daerah-daerah tersebut, vaksinasi penduduk di kawasan itu juga akan dapat mengurangkan risiko penularan serta jumlah kes, ia juga dapat kurangkan risiko eksport virus ke daerah lain.

“Bagaimanapun, kebanyakan kes adalah dalam kalangan orang dewasa berusia antara 18 hingga 40 tahun, mereka adalah yang paling aktif dari segi sosio-ekonomi. Sekiranya kita lindungi mereka setelah orang tua, kita akan dapat melindungi golongan lain.”

Namun beliau tetap tegas berkata PKP penuh tidak semestinya dapat menambah baik situasi wabak ketika ini.

“Kita tidak boleh bergantung pada PKP saja, walaupun pelaksanaan sama macam PKP 1.0 yang menutup penuh hampir semua sektor.”