- Iklan -
Berita

Lebih setengah juta dos vaksin AstraZeneca tiba di Kuala Lumpur

Malaysia telah menerima 828,000 dos daripada angka sasaran sebanyak 1,387,200 dos vaksin AstraZeneca yang dibekalkan oleh kemudahan Covax.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekalan kedua vaksin AstraZeneca daripada kemudahan Covax tiba di Kuala Lumpur hari ini.
Bekalan kedua vaksin AstraZeneca daripada kemudahan Covax tiba di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia menerima 559,200 lagi dos vaksin AstraZeneca hari ini melalui penghantaran kedua daripada kemudahan Covax.

Ia adalah penghantaran kedua selepas 268,800 dos vaksin tiba di Kuala Lumpur pada 21 April lalu melalui inisiatif yang diterajui Unicef dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tersebut.

Secara keseluruhan, Malaysia telah menerima 828,000 dos daripada angka sasaran sebanyak 1,387,200 dos vaksin AstraZeneca yang dibekalkan oleh kemudahan Covax.

“Ketibaan kali kedua vaksin di Kuala Lumpur menandakan satu lagi pencapaian kemudahan Covax dalam usahanya mengedarkan sekurang-kurangnya dua bilion dos vaksin Covid-19 sehingga hujung tahun 2021,” kata Unicef dalam sebuah kenyataan.

Wakil WHO, Dr Lo Ying-Ru Jacqueline berkata ketibaan vaksin tersebut bertepatan dengan waktu krisis di mana kes jangkitan sedang meningkat di negara ini.

“Kita mesti mengambil setiap peluang yang ada untuk memvaksin lebih ramai orang sekali gus mengurangkan kemasukan warga ke hospital dan kematian.

“Prioriti juga harus diberikan kepada mereka yang memerlukannya daripada warga emas dan mereka yang memiliki penyakit kronik.”

Vaksin AstraZeneca ketika ini diberikan melalui pilihan sukarela “siapa cepat, dia dapat” di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pendaftaran untuk Fasa 2 program vaksinasi AstraZeneca itu akan dibuka bermula Ahad ini kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Vaksin AstraZeneca ketika ini menjadi vaksin utama yang dibekalkan kemudahan Covax bagi memastikan negara-negara miskin mendapat akses vaksin dengan kosnya ditanggung oleh derma antarabangsa.

Ia juga digelar sebagai “game-changer” pada Januari lalu ketika diumumkan sebagai vaksin pertama yang mampu milik selain tidak memerlukan tempat penyimpanan suhu dingin seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Bagaimanapun, AstraZeneca menghadapi publisiti buruk berikutan kes darah beku yang dilaporkan di beberapa negara termasuk UK dan Eropah yang menyaksikan beberapa pesakit yang disuntik vaksin tersebut telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, ia disambut baik di Malaysia dengan janji temu vaksinasi sebanyak 268,600 habis ditempah hanya dalam tempoh masa tiga jam.