Tuesday, October 26, 2021

Neelofa, suami didakwa di mahkamah hari ini

Noor Neelofa akan didakwa gagal mematuhi SOP PKPB kerana tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis atau menulis secara manual.

Other News

Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail akan didakwa di Mahkamah Majistret berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihaknya telah menerima semula kertas siasatan melibatkan pasangan berkenaan daripada Pejabat Peguam Negara hari ini.

Katanya pasangan itu akan didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (kawalan pergerakan bersyarat) (no.4) (pindaan) (no.12) 2021.

Beliau berkata Muhammad Haris berdepan dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP PKPB.

“Sementara itu, Noor Neelofa akan didakwa gagal mematuhi SOP PKPB kerana tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk (check-in) di premis atau menulis secara manual,” katanya dalam sebuah kenyataan malam semalam.

Pada 2 Mei, Noor Neelofa memuat naik gambar dan video dia bersama suami berada di sebuah kedai karpet di Nilai dan dua hari selepas itu, kedua-duanya hadir memberi keterangan selama empat jam di ibu pejabat daerah Polis Nilai.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim memaklumkan kertas siasatan berhubung pelanggaran SOP melibatkan Noor Neelofa serta keluarganya telah lengkap dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

Katanya Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 17 P. U. (A) 225/21 bagi membolehkan siasatan rapi dijalankan.

“Sebarang aktiviti ziarah raya di seluruh negara (sepanjang PKP) adalah tidak dibenarkan sebagaimana yang telah diputuskan oleh kerajaan.

“Jika terdapat sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Bernama telah melaporkan Noor Neelofa dan keluarganya hadir memberi keterangan di IPD Brickfields selepas didakwa melanggar SOP PKP dengan menyambut hari raya pertama Aidilfiti, Khamis lepas bersama-sama di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail dan videonya tular di media sosial.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles