- Iklan -
Berita

Muhyiddin akan pengerusikan mesyuarat bincang soal PKP esok

Mesyuarat tersebut diadakan ketika negara menyaksikan peningkatan jangkitan mendadak di seluruh negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sekatan jalan raya di kawasan sempadan negara bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang melarang rentas negeri dan daerah.
Sekatan jalan raya di kawasan sempadan negara bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang melarang rentas negeri dan daerah.

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan isu perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini.

Beliau berkata perkara itu akan dibincang dan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 yang akan diadakan di Putrajaya esok.

“PKP penuh antara langkah yang perlu difikirkan oleh MKN, dan ia akan dibincangkan esok sebelum diputuskan. Mesyuarat pukul 3.00 petang itu juga akan dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, Kelantan hari ini.

Menurutnya kerajaan melihat penularan Covid-19 sebagai perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik semalam, jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta apabila 485,496 kes direkodkan setakat ini.

Menurutnya kerajaan sedar selain memerlukan langkah tegas merawat kes positif, langkah pencegahan adalah juga penting, kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Disebabkan itulah hari ini kita menekankan soal pematuhan SOP yang sudah diputuskan oleh kerajaan pusat. Kita ada langkah pencegahan sehingga diwujudkan team SOP yang diketuai PDRM, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan sebagainya,” katanya.

Malaysia menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan harian Covid-19 sehingga melebihi angka 6,000 dua hari berturut-turut dengan 6,806 kes direkodkan hari ini.