Friday, June 18, 2021

Menjelang rundingan tanah, Orang Asli Selangor harap yang terbaik

Mereka berharap beberapa langkah pampasan dapat dibincangkan bagi membolehkan mereka memulakan kehidupan baru di tempat lain.

Other News

Ketika nasib sebuah penempatan Orang Asli di Selangor bergantung kepada pertemuan bersama pemaju tanah dan pihak berkuasa tempatan hari ini, penduduk kampung kini hanya boleh berharap beberapa langkah pampasan dapat diputuskan bagi membolehkan kehidupan baru dimulakan di tempat lain.

Penduduk Kampung Orang Asli Bagan Lalang menerima notis pengusiran oleh Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan kerajaan negeri pada 20 April lalu.

Notis yang dilekat di pintu setiap rumah di kampung itu menyatakan penduduk kampung diminta untuk meninggalkan dan memulangkan semula tanah yang diduduki kepada PNSB dalam masa 30 hari.

Seorang pemimpin komuniti yang memperkenalkan dirinya sebagai Taha berkata mereka sedar tidak memiliki hak ke atas tanah tersebut.

“Kami tahu kami hanya ‘menumpang’,” katanya, menggunakan perkataan Melayu yang bermaksud menduduki kawasan tanpa kebenaran.

“Namun nak keluar dari sini, kami perlukan sejumlah wang.”

Jika memiliki wang pun, katanya, ia tidak cukup untuk tujuan itu.

Notis pengusiran yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu jelas menyatakan kos pemindahan mesti ditanggung penduduk kampung dan tidak akan dibenarkan menuntut pampasan bagi wang yang dibelanjakan di tapak tersebut.

Salah seorang peneroka awal kawasan kampung itu, Tenya Atan berkata walaupun penduduk bersetuju dengan keputusan itu, mereka merasa sedih dengan perkataan yang digunakan dalam notis tersebut.

“Kami tidak ceroboh tanah orang.

“Tidak ada orang yang tinggal di sini. Kami juga tidak berladang di sini,” katanya.

“Ya, kami buka penempatan tetapi kami tidak menceroboh,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dalam pada itu, Taha mengaitkan masalah itu kepada beberapa penduduk lain yang berpindah dan menetap di kampung tersebut, dan kemudian masuk ke tapak tanah milik PNSB.

“Kalau hanya kami sahaja, Orang Asli, tidak menjadi masalah,” katanya sambil menambah sebelum ini tidak ada pihak yang mengganggu sejak dua dekad tinggal di kampung tersebut.

Sebanyak 13 etnik Orang Asli tinggal di kawasan tersebut.

Ia menempatkan sekitar 30 orang daripada pelbagai etnik.

MalaysiaNow difahamkan rundingan hari ini akan melibatkan PNSB dan Pejabat Tanah Daerah Sepang.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata semua tindakan yang diambil kerajaan negeri adalah sesuai dengan peruntukan undang-undang.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menerima rayuan untuk tempoh persediaan keluar daripada penempatan tersebut dipanjangkan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles