- Iklan -
Berita

7 kes varian Afrika Selatan dikesan di Kuching

Kesemua kes tersebut dikesan melalui pantauan survelan genomik.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan sedang memeriksa sampel kes di makmal Covid-19 di Kuching. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan sedang memeriksa sampel kes di makmal Covid-19 di Kuching. Gambar: Bernama

Beberapa orang pakar di Universiti Malaysia Sarawak hari ini mengesahkan tujuh kes varian Covid-19 Afrika Selatan di Kuching.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Dr David Perera berkata kesemua kes tersebut dikesan melalui pantauan survelan genomik.

“Hari ini, kami ingin mengesahkan pengesanan tujuh kes varian Afrika Selatan yang disenarai dalam kebimbangan varian (VOC), iaitu varian B.1.351, di daerah Kuching.

“Kes terawal yang dijujuk didapati positif melalui RT-PCR pada 26 April dan kes positif terbaru dicatat pada 6 Mei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes-kes tambahan P3 atau varian Filipina turut dikesan di Sibu dan Samarahan.

“Varian P3 ini dikenali dengan mutasi berganda: utasi E484K yang dikongsi dengan varian B.1.351 Afrika Selatan dan mutasi N501Y yang dikongsi dengan varian B.1.1.7 UK,” katanya dan menambah mutasi-mutasi tersebut turut dikaitkan dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

Beliau turut berkata varian Covid-19 di kluster Pasai yang memiliki mutasi gen serupa dengan varian UK kini beredar di seluruh negeri itu.

Beliau menggesa orang awam untuk sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) selain segera mendaftaran diri untuk vaksinasi.

“Kami mengesan varian B.1.530 yang muncul dominan di Miri, dan ia turut dikesan di Kuching.

“Dengan penemuan-penemuan baru varian SARS-COV-2 yang menular di Sarawak, kami menggesa orang ramai terus mematuhi SOP dan garis panduan kerajaan terutama pemakaian pelitup muka, sentiasa membersihkan tangan dan menjaga penjarakan fizikal, selain itu mendaftarkan diri dalam prigram vaksinasi demi mencapai tahap imuniti kelompok.”