- Iklan -
Berita

Pakar desak beri laluan kepada murid protes gangguan seksual

Mereka berkata pelajar menggunakan kaedah yang tidak konvensional seperti 'National School Walkout Day' kerana kurang tindakan daripada pihak berwajib ketika mereka menggunakan saluran yang betul.

Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Para pelajar memerlukan platform yang selamat untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung isu yang berkait dengan mereka.
Para pelajar memerlukan platform yang selamat untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung isu yang berkait dengan mereka.

Beberapa pakar menggesa platform yang sesuai untuk murid disediakan supaya mereka dapat menyatakan pandangan ketika beberapa organisasi belia mengatur “National School Walkout Day” sebagai reaksi terhadap masalah gangguan seksual di sekolah.

Langkah menganjurkan program tersebut mencetuskan kritikan daripada beberapa pihak yang berkata ia menggalakkan ponteng sekolah dalam kalangan murid.

Bagaimanapun, pakar yang dihubungi MalaysiaNow berkata para murid mengambil langkah melakukan protes tidak konvensional kerana tidak dipandang serius ketika melakukannya di saluran yang betul.

Ahli sosiologi, Syarifah Fatimah Al Zahrah Al Attas dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata tanggungjawab untuk menyatakan bantahan terhadap gangguan seksual di sekolah tidak seharusnya dilakukan oleh murid sahaja kerana mereka berada di posisi kecil dalam hirarki.

Sebaliknya, Syarifah berkata guru dan ibu bapalah yang seharusnya memberi ruang untuk murid menyuarakan pandangan dan bantahan.

“Jika anda rasa tidak hadir atau keluar dari sekolah bukan cara yang tepat untuk memprotes, apakah alternatif yang anda berikan kepada mereka?

“Sekiranya kita tidak mahu mereka memprotes, berikan beberapa pilihan supaya suara mereka didengar dan tindakan yang tepat dapat diambil,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Syarifah, orang dewasa adalah golongan yang bertanggungjawab dalam memastikan sekolah menjadi tempat selamat untuk murid.

Beliau menambah pihak berkuasa sekolah tidak boleh bersikap defensif apabila masalah seperti ini dibangkitkan murid kerana ia hanya akan menghantar mesej masalah ini perlu disembunyikan dan bukannya ditangani segera.

“Sekiranya anak-anak diganggu secara seksual, jika kita tidak anggap serius maka kita sebenarnya tidak melakukan tanggungjawab melindungi mereka.

“Satu kes itu pun sebetulnya sudah terlalu banyak,” katanya.

Pengarah Program di Pusat Wanita untuk Perubahan (WCC) Karen Lai berkata murid mesti terus bersuara walaupun suara mereka tidak diakui.

Beliau berkata membungkam suara mangsa sering menjadi taktik digunakan untuk mengelakkan isu ini dibahas lebih lanjut.

Akhirnya, tidak ada sebarang tindakan yang wajar diambil terhadap si pelaku.

Beliau turut menambah pihak guru juga harus bersuara untuk keselamatan murid mereka.

“Guru perlu berani untuk bersuara,” katanya.

“Kita adalah pendidik yang bertanggungjawab membentuk minda anak muda dan pandangan mereka.

“Sekiranya kita tidak bersuara untuk murid, ia akan berikan mesej buruk bahawa mangsa perlu dipersalahkan dan status quo tetap dipertahankan walaupun terdapat kenyataan yang menyinggung perasaan.

“Kita berhak untuk marah,” tambahnya.

“National School Walkout Day” adalah sebuah gerakan yang menggesa murid dan guru di seluruh negara untuk tidak menghadirkan diri di sekolah atau sesi kelas.

Shreya Menon Krisnan dan Adillah Zaki, dua belia yang bersama menganjurkan gerakan itu, berkata mereka melakukan usaha tersebut demi menunjukkan solidariti kepada mangsa.

Menurut Shreya, protes itu adalah bagi mendesak perubahan segera dilaksanakan dalam sistem sekolah, sehingga pelaku diambil tindakan dan mangsa tidak didiamkan.

“Saya rasa kita perlu sedar, murid-murid ini sudah pun menggunakan saluran yang betul.

“Sekiranya anda teliti apa yang berlaku, anda mungkin menyedari sistem yang wujud melindungi salah laku penyerang ini.”

Beliau turut berkata protes itu juga dianjurkan adalah bagi menjadikan mereka yang berada dalam sistem pendidikan mendengar aduan mangsa dan sedar kesalahan yang berlaku tidak boleh dibiarkan atau diabaikan tanpa apa-apa tindakan.

Sementara itu, Adillah berkata saluran yang betul sering disalahgunakan, menyebabkan kuranganya tindakan diambil terhadap pelaku.

“Secara peribadi, saya percaya kaedah protes itu penting kerana ia perlu selamat bagi para peserta, terutama jika melibatkan anak-anak dan ia berlaku semasa pandemik melanda.

“Inilah sebabnya mengapa ‘National School Walkout Day’ berulang kali menekankan keselamatan anak termasuk kesejahteraan emosi dan mental mereka.

“Yang salah dalam mengadakan protes, menurut saya, ialah menjadi cuai sehingga membahayakan peserta.”