- Iklan -
Berita

‘Malu apa?’ Khairy bidas Najib abai fakta berkenaan vaksin

Najib gagal meneliti fakta yang berulang kali dinyatakan Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berhubung kadar vaksinasi dalam negara yang akan terus meningkat.

Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Penyelaras Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Menteri Penyelaras Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Khairy Jamaluddin hari ini membidas Najib Razak kerana gagal meneliti fakta berhubung program vaksinasi negara ketika menuduh pelaksanaan program tersebut dijangka akan mengambil waktu lebih lama daripada sasaran.

Khairy yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata Najib beberapa kali dengan sengaja mengabaikan fakta berkenaan program imunisasi yang diusahakan kerajaan ketika ini.

“Sudah beberapa kali saya maklumkan, kadar vaksinasi ini akan meningkat, ia akan meningkat pada Jun, Julai dan Ogos depan.

“Dengan unjuran kadar pelaksanaan yang kita sasarkan, saya yakin kita akan dapat selesaikan program vaksinasi pada akhir tahun ini,” kata Khairy pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Khairy turut berkata Najib membuat tuduhannya berdasarkan kadar vaksinasi ketika ini namun “sengaja mengabaikan” fakta kadar vaksinasi akan terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Dia terus menerus abaikan fakta. Tapi tak pa la, malu apa kan?,” tambah Khairy secara sinis menggunakan slogan terkenal yang dikaitkan dengan Najib di media sosial.

Pada Mac lalu, Khairy menafikan dakwaan Najib yang mengatakan Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara lain dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Beliau menjelaskan kadar perlahan dalam fasa pertama PICK adalah kerana jumlah besar mereka yang diberikan suntikan vaksin adalah dalam kalangan barisan hadapan negara.

Khairy turut berkata program vaksinasi negara itu akan terus meningkat sejajar fasa-fasa selepas ini, dengan usaha meningkatkan bilangan pusat vaksinasi selain bekalan vaksin yang diluluskan NPRA.

Semalam, dalam sebuah hantaran Facebook Najib berkata kadar vaksinasi ketika ini akan mengambil jangka masa selama 6.1 tahun untuk negara ini mencapai imuniti kelompok yang didakwa paling lembab di Asean walaupun telah dilancarkan sejak tiga bulan lalu.

“Duit tabung KWAN sudah korek tapi vaksin masih lambat,” katanya merujuk peruntukan dari Kumpulan Wang Amanah Negara sebanyak RM5 bilion bagi PICK.

“Sangat harap program ini akan dipercepatkan dan tidak akan lagi tertunda berulang kali,” katanya.