- Iklan -
Berita

Kanak-kanak 7 tahun warga Malaysia dikaitkan dengan kluster baru Singapura

Anggota keluarga kanak-kanak tersebut, seorang tukang masak berusia 36 tahun juga dikaitkan dengan kluster yang sama.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Singapura turut menjadi negara yang menyaksikan kes Covid-19 meningkat sehingga memaksa negara itu memperketat sekatan. Gambar: AP
Singapura turut menjadi negara yang menyaksikan kes Covid-19 meningkat sehingga memaksa negara itu memperketat sekatan. Gambar: AP

Seorang kanak-kanak Malaysia berusia tujuh tahun adalah satu daripada dua kes baharu Covid-19 yang dikaitkan dengan kluster baru di Singapura, menurut kementerian kesihatan republik itu.

Kali terakhir murid Sekolah Rendah Yuhua itu ke sekolah pada 14 Mei, kata kementerian dalam satu kenyataan malam tadi.

Selain itu, anggota keluarga kanak-kanak tersebut, seorang tukang masak Malaysia di Spring Court Restaurant berusia 36 tahun juga dikaitkan dengan kluster yang sama. Keputusan ujian pada 17 Mei menunjukkan positif Covid-19.

Kes pertama kluster ini melibatkan seorang penduduk tetap berusia 64 tahun yang kini menganggur dan kedua-dua rakyat Malaysia itu serumah dengan wanita tersebut yang disahkan positif pada 15 Mei.

Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia pula dikaitan dengan kluster Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 87 kes disahkan.

Seorang daripadanya adalah wanita Malaysia berusia 36 tahun yang pada peringkat awal disahkan positif tahap varian B.1.617, dan sedang menunggu ujian pengesahan selanjutnya.

Semalam Singapura melaporkan 11 kes tidak berkaitan termasuk dua lagi rakyat Malaysia. Republik itu yang telah memperketat langkah-langkah keselamatan dalam masyarakat bermula 16 Mei lalu setakat ini mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 sebanyak 61,651.

Terdapat 220 kes masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih, manakala lima pesakit kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Singapura mencatatkan 19 kluster terbuka setakat ini.