- Iklan -
Berita

‘Kami bukan paling parah’, Selangor sangkal dakwaan gagal tangani Covid-19

Pengerusi STFC Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan kadar kebolehjangkitan, Selangor bukan negeri yang paling parah terjejas akibat wabak Covid-19.

Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan melaksanakan ujian swab di klinik kesihatan di Shah Alam, Selangor. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan melaksanakan ujian swab di klinik kesihatan di Shah Alam, Selangor. Gambar: Bernama

Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) hari ini menolak dakwaan negeri itu adalah yang paling teruk dalam menguruskan usaha menangani virus dengan mengatakan kes jangkitan harian yang dicatatkan negeri itu bukanlah bukti ia adalah negeri paling parah terjejas akibat pandemik.

Pengerusi STFC Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan kadar kebolehjangkitan, Selangor tidak mendahului negeri-negeri lain yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Kalau kita ambil kadar kebolehjangkitan, apakah Selangor tertinggi? Tidak, kerana ini berdasarkan data-data yang kita dapatkan daripada kementerian kesihatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Malaysia merekodkan 4,865 kes baru menyaksikan Selangor mencatat kes harian sebanyak 1,743.

Pada 17 Mei, 4,446 kes baru dilaporkan dengan Selangor menyumbang sebanyak 1,650 jangkitan.

Rekod kes harian Seangor melebihi 1,000 kes meninggalkan negeri-negeri lain termasuk Sarawak yang semalam merekodkan kes harian sebanyak 512.

Dalam pada itu, Selangor turut mencatat 18 kematian dari 47 keseluruhan kematian yang direkodkan semalam.

Menurut Dzulkefly, Selangor juga tidak bersetuju dengan rancangan untuk memperketatkan PKP yang ketika ini dilaksanakan di negeri itu seperti yang pernah dilaksana pada tahun lalu.

Katanya, pelaksanaan PKP sekala penuh di Selangor akan menyebabkan negeri itu lebih teruk terjejas akiba Covid-19 kerana pengalaman PKP sebelum ini menunjukkan peningkatan jangkitan akan berlaku jika ia dilonggarkan.

“Jika diberikan pilihan, kami tidak mahu PKP yang ketat seperti PKP 1.0 yang dilaksanakan sebelum ini.

“Namun jika kami diarahkan untuk berbuat demikian di bawah perintah darurat, kami akan ikut.

“Jika menteri kesihatan mahu laksanakan PKP penuh hanya berdasarkan angka, saya gesa keputusan tersebut dipertimbangkan dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sebelum ini berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di Selangor dengan melaksanakan PKP skala penuh jika jangkitan Covid-19 terus meningkat.

Dalam pada itu, Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata perniagaan kecil adalah sektor yang paling teruk terjejas jika PKP skala penuh dilaksanakan di negeri itu.

Beliau berkata strategi yang tepat perlu dilaksanakan bagi membenarkan rakyat Selangor meneruskan aktiviti ekonomi bagi meneruskan kehidupan.

“Orang ramai di Selangor beritahu saya, rayu supaya kami tidak laksanakan PKP sekali lagi.

“Sekatan penuh PKP akan menjejaskan kehidupan mereka ketika ini,” katanya.

Mariah turut berkata tidak ada gunanya jika kuatkuasakan PKP jika kes jangkitan harian terus meningkat selepas ia dilonggarkan.

“Itu bukan caranya.”