Tuesday, October 26, 2021

Gesaan gencatan senjata gagal, korban konflik di Israel-Gaza meningkat

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bertekad akan terus menyerang 'jika diperlukan'.

Other News

Angka korban akibat konflik Israel-Gaza terus meningkat di kedua-dua belah pihak ketika serangan udara dan bedilan roket berterusan selepas ketegangan berlaku di Palestin susulan gerakan protes di Baitulmaqdis dan Tebing Barat, semalam.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersidang semalam juga berakhir tanpa sebarang kenyataan dikeluarkan.

Namun Perancis mencadangkan resolusi untuk gencatan senjata dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.

Ketika gesaan gencatan senjata diperhebat, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula bertekad akan terus menyerang “jika diperlukan”.

Puluhan mangsa dirawat di hospital akibat pertempuran antara rejim zionis dan penunjuk perasaan di beberapa kawasan di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

Pihak berkuasa perubatan Gaza berkata, puluhan mangsa dirawat kerana luka akibat ditembak peluru hidup.

Serangan udara Israel telah meragut 217 nyawa warga Palestin termasuk 63 kanak-kanak selain mencederakan lebih 1,400 lagi sejak seminggu serangan ke kawasan-kawasan yang dikawal Hamas.

Polis berkata, angka kematian di pihak Israel meningkat kepada 12 orang susulan bedilan roket Hamas ke wilayah selatan Eshkol, membunuh dua pekerja kilang warga Thailand dan mencederakan beberapa yang lain.

Sejak 10 Mei, Hamas melancarkan hampir 3,700 roket ke arah Israel, menyebabkan penduduk berhampiran Gaza terpaksa ke tempat perlindungan.

PBB turut berkata hampir 72,000 warga Palestin kehilangan tempat tinggal.

Namun trak bantuan antarabangsa yang mula tiba ke Gaza melalui sempadan Israel, Kerem Shalom, telah dihalang rejim Israel dengan alasan ancaman serangan mortar di kawasan itu.

Sejak konflik memuncak, Amerika Syarikat (AS) semalam memanggil sesi keempat persidangan Majlis Keselamatan PBB, sehari selepas negara itu menangguhkan resolusi berkaitan konflik Israel-Palestin. Bagaimanapun, sesi berkenaan turut gagal mencapai kata sepakat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles