- Iklan -
Berita

LFL kecam kerajaan Singapura kenakan denda S$5,000 terhadap peguam M Ravi

Kerja-kerja peguam hak asasi M Ravi sering mendapat gangguan polis, jabatan peguam negara dan kehakiman.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Polis berkawal di hadapan Mahkamah Tinggi Singapura. Lawyers for Liberty berkata peguam hak asasi manusia M Ravi 'sering diganggu' pihak berkuasa Singapore ekoran tugasnya sebagai peguam pesalah hukuman mati berkaitan dadah.
Polis berkawal di hadapan Mahkamah Tinggi Singapura. Lawyers for Liberty berkata peguam hak asasi manusia M Ravi 'sering diganggu' pihak berkuasa Singapore ekoran tugasnya sebagai peguam pesalah hukuman mati berkaitan dadah.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam kerajaan Singapura susulan denda S$5,000 ke atas peguam M Ravi berhubung beberapa permohonan kes yang turut mendedahkan pihak berkuasa di negara itu mengintip komunikasi penjara antara pesalah bilik akhir warga Malaysia dan peguam-peguam mereka.

Penasihat LFL N Surendran berkata denda yang perlu dibayar kepada pihak peguam negara Singapura telah diarahkan di Mahkamah Rayuan empat hari lalu.

“Denda yang tinggi itu adalah berpunca dari aduan peguam negara Singapura terhadap Ravi berhubung beberapa permohonan yang beliau sudah failkan di mahkamah mewakili banduan bilik akhir kerana kesalahan dadah.

Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata kerja-kerja yang diusahakan Ravi sering mendapat gangguan daripada kerajaan Singapura, polis, dan pejabat peguam negara.

“Denda terbaru yang dikenakan ke atas Ravi kerana tugasnya sebagai peguambela kes hukuman mati tidak sepatutnya berlaku, dan jelas sekali ia adalah berkaitan dengan pembelaannya terhadap beberapa kes keldai dadah warga Malaysia yang menanti hukuman mati,” tambahnya.

Usaha-usaha pembelaan Ravi dalam kes warga Malaysia Gobi Avedian sehingga kes itu berjaya dibuka semula.

Surendran berkata denda terhadap Ravi itu “jelas berniat untuk menyekat beliau daripada meneruskan beberapa rayuan dalam kes banduan bilik akhir warga Malaysia”.

“Selain itu, AG Singapura turut mengambil tindakan tatatertib terhadap Ravi, dengan menyalahi permohonan mahkamah yang sah oleh Ravi dalam kes Gobi Avedian.

“Penganiayaan terhadap Ravi oleh kerajaan Singapura, AG dan kehakiman atas pendiriannya yang tegas terhadap hukuman mati, telah lama dan merupakan tanda hitam terhadap reputasi antarabangsa Singapura.

“Kami mendesak kerajaan Singapura untuk menghormati keluruhan undang-undang, dan mengizinkan Ravi untuk meneruskan usahanya bagi pihak tahanan hukuman mati Malaysia tanpa membuatnya lebih jauh dari proses penindasan seperti itu.”

Beliau menambah bahawa para peguam di Malaysia berjaya mengumpulkan jumlah keseluruhan S$5,000 untuk menyokong Ravi.

“Kami berharap hal ini memberi mesej jelas kepada kerajaan Singapura dan badan kehakiman mereka agar mengizinkan peguam bela menjalankan tugas mereka tanpa campur tangan, atau menganggu proses.”