- Iklan -
Berita

Abai hak harta intelek bagi vaksin Covid-19, baik atau tidak?

Kebimbangan timbul berhubung kepentingan geopolitik negara tertentu selain jurang pembahagian dos vaksin yang tidak sama rata.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pengabaian sementara hak harta intelektual mungkin akan melancarkan program vaksinasi negara, namun ia juga mungkin menyebabkan lambakan vaksin palsu dan tidak berkualiti.
Pengabaian sementara hak harta intelektual mungkin akan melancarkan program vaksinasi negara, namun ia juga mungkin menyebabkan lambakan vaksin palsu dan tidak berkualiti.

Seorang ahli ekonomi mempersoalkan cadangan beberapa negara untuk mengenepikan hak harta intelek (IP) bagi vaksin Covid-19 yang dicetuskan India di Organisasi Perdagangan Dunia (WTO), mengatakan kemungkinan wujud beberapa langkah lain berbanding kononnya dengan langkah tersebut negara-negara miskin dapat mengakses suntikan yang sangat diperlukan dalam memerangi virus berjangkit itu.

Gesaan yang dipimpin India untuk penghapusan sementara perlindungan IP vaksin Covid-19 atau dikenali sebagai Perjanjian Aspek Libat Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPs) itu turut disertai negara-negara lain termasuk Afrika Selatan dan 57 anggota WTO lain .

Pihak yang menyokong langkah itu berkata ia akan menjadikan vaksin dan ubat-ubatan lebih mudah diakses.

Namun, bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito, langkah tersebut dilihat berkait terus dengan kepentingan geopolitik.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Carmelo berkata wujud dua blok utama yang memperjuangkan isu tersebut: Amerika Syarikat (AS), China dan India menyokong pengabaian hak intelek diketepikan sementara dan Britain dan Kesatuan Eropah (EU) menentangnya.

“Namun, penerima manfaat utama pengecualian tersebut adalah China dan India,” katanya.

Beliau turut menyifatkan gesaan oleh India dan Afrika Selatan juga “tidak betul-betul jujur”.

Menurutnya, gesaan tersebut bukan bertujuan membendung wabak Covid-19 tetapi untuk membiarkan perusahaan domestik mendapat keuntungan daripada IP pihak lain.

“Presiden Biden nampaknya menggunakan pengabaian IP sebagai alat geopolitik daripada pendekatan kemanusiaan,” katanya, merujuk kepada langkah AS awal bulan ini untuk menyokong pengabaian global mengenai perlindungan paten untuk vaksin Covid-19.

Beliau juga menolak hujah hak IP adalah penghalang usaha vaksinasi global.

“Bukannya hak IP yang batasi akses vaksin di seluruh dunia. Sebaliknya, penyebab sebenar adalah kekurangan tapak pembuatan, rancangan pengedaran, logistik dan kedaulatan undang-undang, itu belum lagi birokrasi dan rasuah,” katanya.

Menurut Carmelo, larangan eksport AS dan Britain juga turut menambah masalah.

Pada 6 Mei, wakil perdagangan AS Katherine Tai berkata walaupun hak IP untuk perniagaan adalah penting, Washington “menyokong pengabaian perlindungan hak cipta intelek bagi vaksin Covid-19” demi mengakhiri wabak tersebut.

“Ini adalah krisis kesihatan global, dan keadaan luar biasa dari pandemik Covid-19 memerlukan tindakan luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

China juga senada menyatakan sokongan cadangan pengecualian tersebut.

Jurucakap kementerian perdagangannya berkata: “China akan bekerjasama dengan semua pihak untuk secara aktif mengambil bahagian dalam rundingan dan bersama-sama mempromosikan penyelesaian yang seimbang dan berkesan.”

UK dan EU bagaimanapun dilihat lebih berhati-hati dan berkata mereka bersedia untuk membincangkan perkara tersebut.

Di Malaysia, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago daripada pembangkang pada Sabtu mendesak Putrajaya untuk menyokong langkah tersebut.

Menurutnya, monopoli pengeluaran vaksin Covid-19 oleh syarikat farmaseutikal gergasi dan negara kaya mengakibatkan “pertelagahan warga global antara satu sama lain”.

“Pengecualian ini akan memungkinkan kerajaan, termasuk Malaysia, mengusahakan pengeluaran vaksin yang dipatenkan tanpa persetujuan syarikat farmaseutikal yang memegang paten itu,” katanya dalam sebuah catatan di Facebook.

“Kita juga boleh abaikan monopoli syarikat yang memegang hak IP dan menghasilkan vaksin generik dan teknologi lain yang dapat melawan Covid-19.

“Di lapangan, ini bermaksud jadual vaksinasi akan menjadi lebih lancar.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr M Subramaniam berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyuarakan sokongannya terhadap pengabaian hak perlindungan IP.

“Pengedaran vaksin harus adil bagi negara kaya dan miskin,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tidak sepatutnya ada negara yang kumpulkan stok bekalan vaksin hanya kerana mereka memiliki wang.”

Beliau berkata beberapa negara kini sudah pun beralih untuk memulakan vaksinasi kanak-kanak dan remaja sementara negara lain masih berjuang menyelesaikan vaksinasi bagi kumpulan paling rentan di negara masing-masing.

“Hal ini memang tidak boleh diterima.”

Carmelo juga berkata pengabaian hak IP juga akan menyebabkan “kebanjiran” vaksin palsu dan tidak bermutu sehingga kemungkinan keraguan terhadapnya akan semakin meningkat.

Beliau turut memberikan respons berhubung program vaksinasi Malaysia ketika ini yang dilihat lembab dengan berkata mungkin perlu mempertimbangkan untuk menjadi negara pembuatan vaksin sedia ada.

“Akhirnya, Malaysia perlu berusaha dapatkan lesen pembuatan jika negara itu bersedia melakukannya,” katanya.

Ahli geostrategi Azmi Hassan berkata pengedaran vaksin akan lebih berkesan jika semua pihak bersetuju dengan pengabaian IP vaksin ketika ini, sambil menambah Malaysia tidak akan rugi kerana tidak menghasilkannya sendiri.

“Salah satu sebab mengapa pengeluaran vaksin terhenti adalah kerana kapasiti pengilang yang terhad,” katanya.

Azmi tidak bersetuju kononnya ada hubungan antara isu perlindungan IP dan produk palsu.

“Vaksin palsu sekarang ini pun sudah ada kerana mereka yang membuatnya tidak peduli pun dengan perlindungan IP,” katanya.