Saturday, June 19, 2021

Persoalan timbul berhubung kompaun ingkar SOP berdasarkan pendapatan

Kaedah kompaun yang dikenali sebagai denda harian itu memiliki kelebihannya namun mungkin berdepan masalah ketika pelaksanaannya, kata pakar.

Other News

Beberapa keraguan berhubung cadangan pelaksanaan denda berdasarkan pendapatan harian disuarakan apabila ia timbul dalam perbahasan akhir-akhir ini mengenai isu jumlah amaun kompaun berbeza dikeluarkan kepada orang kenamaan (VIP) berbanding orang biasa ketika prosedur operasi standard (SOP) kesihatan Covid-19 dilanggar.

Denda yang disebut sebagai denda harian itu adalah sebuah sistem dengan amaun mengikut atau berdasarkan pendapatan pesalah yang ditahan.

Sistem yang mirip sistem kiraan percukaian pendapatan itu pada ketika ini diamalkan beberapa negara Eropah seperti Finland, Jerman dan Switzerland.

Felo kanan badan pemikir Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) Carmelo Ferlito berkata sebarang pelaksanaan sistem denda harian harus didahului dengan persetujuan nisbah utama di sebalik hukuman denda itu adalah kerugian kewangan, yang semestinya berbeza mengikut individu.

“Ia adalah satu sistem yang kontroversi kerana ia menunjukkan hukuman melibatkan kewangan pesalah adalah dasar kepada hukuman itu sendiri,” katanya dan berkata hanya sebilangan kecil negara sahaja menggunakan sistem kompaun sedemikian.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, beliau mengingatkan beberapa halangan signifikan berhubung kelancaran pelaksanaannya termasuk keperluan mendapatkan atau menyelidik maklumat kewangan pesalah bagi menetapkan amaun denda.

Menurutnya, hal tersebut akan melibatkan kos kerana para pesalah tidak mempunyai insentif untuk mendedahkan maklumat tersebut.

Beliau bagaimanapun mencadangkan sebuah sistem kompaun berdasarkan sifat kesalahan yang dilakukan dalam mempertimbangkan amaun kompaun kepada pesalah.

“Amaun denda tidak sepatutnya ditentukan oleh naratif lazim yang menghukum di atas risiko-risiko Covid-19, sebaliknya ia harus seimbang dan ditentukan mengikut ukuran atau berat sebenar kesalahan yang dilakukan.

“Denda RM50,000 kerana gagal daftar menggunakan aplikasi sudah pasti tidak seimbang antara pesalah berpendapatan rendah dengan pesalah yang kaya,” katanya merujuk amaun maksimum kompaun bagi pesalah yang melanggar SOP kesihatan Covid-19.

Sebelum ini, denda dengan jumlah amaun tersebut dikenakan terhadap seorang penjual burger di Kelantan yang didapati menjalankan operasi perniagaannya melebihi had waktu ditetapkan pihak berkuasa.

Tindakan pihak berkuasa tersebut mengundang kecaman orang ramai di media sosial yang mempertikaikan keputusan mendenda peniaga itu dengan jumlah maksimum.

Warga net turut membandingkan kes tersebut dengan peniaga selebriti Noor Neelofa Mohd Noor yang dikenakan denda berjumlah RM60,000 susulan melanggar SOP ketika majlis resepsi pernikahannya.

Menurut Carmelo, apa yang paling penting adalah sistem perundangan dilaksanakan harus mengutamakan “kepastian dan objektifnya dapat dicapai”.

“Undang-undang dan hukuman tidak akan boleh menggantikan aspek pendidikan dalam menangani beberapa isu yang berlaku,” katanya.

“Anda tak boleh mengubah pelaksanaan undang-undang kepada sebuah alat hukuman yang mempunyai unsur etika.”

Dekan Fakulti Undang-Undang, Pentadbiran dan Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Ahmad Marthada Mohamed berkata denda harian memiliki kelebihannya tersendiri tetapi bersetuju dengan Carmelo ia akan berdepan masalah ketika peringkat pelaksanaan.

Beliau menjelaskan negara seperti Amerika Syarikat sebelum ini juga pernah menggunakan sistem denda harian namun ia memansuhkan pelaksanaannya dan kembali menggunakan sistem “flat rate” atau kadar denda setara.

“Budi bicara hakim masih menjadi satu cara terbaik dalam mempertimbangkan amaun kompaun,” katanya.

“Sekarang ini pun kita boleh lihat, pesalah kali pertama masih boleh merayu berhubung amaun denda yang dikenakan terhadap mereka.”

Menurutnya, dalam menangani isu ini, amaun denda perlu dianggap perkara yang bukan utama.

“Apa yang penting semua orang yang melanggar undang-undang, termasuk VIP dihadapkan ke muka pengadilan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles